Operasi khas banteras produk elektrik tidak patuh piawaian

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong (tengah) mempengerusikan sesi libat urus bersama FOMEDA, di sini 

PUTRAJAYA, 23 Julai– Operasi Pematuhan Khas akan dilaksanakan secara bersepadu bagi membanteras kemasukan dan penjualan produk elektrik yang tidak mematuhi piawaian keselamatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Banyak produk import dijual tanpa Label Keselamatan ST-SIRIM, termasuk melalui platform e-dagang dan premis fizikal, membahayakan pengguna.
  • Penguatkuasaan diperkuatkan di pintu masuk utama dan premis disyaki, dengan pemantauan pengisytiharan import dan kerjasama platform e-dagang.
  • Pensampelan serta ujian produk di pasaran dilakukan, menyasarkan 34 kategori termasuk pengecas, kabel dan cerek, bersama agensi berkaitan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, operasi yang diselaraskan kementeriannya itu bertujuan melindungi pengguna serta meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pengimport.

“Apa yang kita dapati ialah banyak produk yang memasuki negara kita sebenarnya tanpa Label Keselamatan Suruhanjaya Tenaga (ST)-SIRIM dan ia dijual melalui platform e-dagang dan premis fizikal.

Produk elektrik yang tidak mematuhi piawaian ini berkemungkinan mengakibatkan kebakaran dan itulah yang kita risaukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sesi libat urus bersama Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Elektrik Malaysia (FOMEDA), di sini.

Jelas beliau, antara fokus operasi ialah memperkukuh penguatkuasaan di pintu masuk utama negara serta menjalankan pemeriksaan bersepadu di premis yang disyaki menjual produk tidak mematuhi piawaian.

Pada masa sama, memperketat pemantauan terhadap pengisytiharan import serta meningkatkan kerjasama dengan platform e-dagang.

“Dalam operasi ini kita akan turut melaksanakan pensampelan dan ujian produk di pasaran bagi memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian keselamatan berada di pasaran.

Ia menyasarkan 34 kategori barangan elektrik terkawal di bawah Peraturan-Peraturan Elektrik 1994, termasuk pengecas telefon, kabel dan cerek elektrik,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, operasi berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama ST, SIRIM serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Agensi lain yang turut terlibat ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.