
PUTRAJAYA, 23 Julai– Tuduhan bahawa Malaysia mengamalkan antisemitisme susulan pengusiran warga Israel dari negara ini disifatkan sebagai hipokrit.
- Menolak hubungan diplomatik dengan rejim yang melakukan jenayah genosid adalah pendirian menentang pembantaian, bukan permusuhan terhadap umat Yahudi.
- Kritikan berpunca daripada andaian bahawa Israel mewakili seluruh masyarakat Yahudi, satu tanggapan terpesong.
- Israel dan para penyokongnya secara ironinya dilihat bersifat antisemitik kerana tindakan dan dasar mereka.
- Malaysia dipuji atas ketegasan mempertahankan keadilan dan enggan tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat.
Pakar Pengajian Asia Barat, Asia Selatan dan Afrika dari Universiti Columbia, Dr Joseph Massad berkata, dakwaan sedemikian berpunca daripada andaian bahawa Israel mewakili seluruh masyarakat Yahudi.
Tegas beliau, pemahaman tersebut merupakan suatu tanggapan yang terpesong.
“Menolak hubungan diplomatik dengan rejim yang melakukan jenayah genosid adalah pendirian tegas menentang pembantaian, bukannya permusuhan terhadap umat Yahudi.
Sungguh aneh apabila Israel, sebuah negara yang jelas bersifat antisemitik, berserta para penyokongnya, mereka sendiri sebenarnya merupakan golongan antisemitik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Syarahan Umum Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini.
Dr Joseph turut memuji ketegasan Malaysia yang tidak berganjak daripada prinsip mempertahankan keadilan serta enggan tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS).
“Saya memuji Malaysia, para ahli politik dan Kerajaan Malaysia atas ketegasan enggan mematuhi sebarang arahan daripada Amerika Syarikat,” katanya.
Terdahulu, lapan Ahli Kongres AS mengemukakan surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagi menggesa pentadbiran Washington menyemak semula hubungan diplomatik dan pembiayaan program ketenteraan dengan Malaysia.
Ia susulan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan Malaysia akan terus berpegang kepada dasar menghalang kemasukan warganegara Israel ke negara ini.