Peningkatan aset APMM perkukuh keselamatan perairan negara

Keluasan perairan negara yang mencecah 590,000 kilometer persegi menuntut keupayaan aset yang lebih mantap/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 21 April – Usaha memperkukuh aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus menjadi keutamaan dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh aset APMM menjadi keutamaan untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan melalui peningkatan rondaan, radar dan sistem komunikasi.
  • Perolehan MPMS kedua, kapal induk 99 meter, akan memperkukuh keupayaan rondaan, penguatkuasaan dan operasi mencari serta menyelamat (SAR).
  • MPMS dilengkapi dek pendaratan helikopter, ketahanan pelayaran lebih lama dan kapasiti anak kapal lebih besar, melengkapkan aset sedia ada seperti KM Fatimah.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, keluasan perairan negara yang mencecah kira-kira 590,000 kilometer persegi menuntut keupayaan aset yang lebih mantap bagi menangani pelbagai ancaman.

Menurut beliau, antara cabaran utama termasuk pencerobohan kapal dan nelayan asing yang boleh menjejaskan hasil laut negara serta mengancam keselamatan dan kedaulatan.

“APMM bertanggungjawab mengawal wilayah operasi dari kawasan pantai hingga ke 200 batu nautika Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), justeru keupayaan aset seperti rondaan, radar dan komunikasi perlu diperkukuh termasuk di laluan Selat Melaka yang penting kepada perdagangan dunia. Ini semua di bawag tanggungjawab APMM,” katanya dalam sidang media.

Datuk Seri Saifuddin berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan Satu Buah Multi Purpose Mission Ship (MPMS) Kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Perolehan kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) termasuk kapal induk sepanjang 99 meter bakal memperkukuh keupayaan APMM sebagai aset terbaharu dan paling canggih khususnya dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan negara.

Projek pembinaan MPMS pertama kini sedang berjalan lancar dengan kemajuan melebihi 68%, manakala pelaksanaan MPMS kedua dijadual siap pada 31 Januari 2028.

“Apabila siap kelak, dua unit kapal MPMS ini—yang kita istilahkan sebagai ‘mother ship’—akan melaksanakan pelbagai fungsi termasuk rondaan, pemantauan, penguatkuasaan, pencegahan serta operasi mencari dan menyelamat. Skop tugasannya amat luas dan meliputi seluruh perairan maritim negara.

Selain itu, kapal ini mampu berlayar dalam tempoh yang lebih lama serta dilengkapi keupayaan pendaratan helikopter di dek. Dengan saiz sepanjang 99 meter, ia turut menempatkan lebih ramai anak kapal, sekali gus meningkatkan tempoh operasi di laut.

Keseluruhan kelebihan ini, berbanding aset sedia ada, dijangka memperkukuh keupayaan pelaksanaan tugas secara lebih berkesan,” jelasnya.

Aset berkenaan akan melengkapi keupayaan sedia ada agensi itu, susulan penyiapan kapal KM Fatimah di Pulau Indah sebelum ini.