Tiga kertas pertimbangan berkait penyertaan belia dilulus JKPB

Foto FB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 21 April – Tiga kertas pertimbangan yang memberi penekanan terhadap aspek penyertaan belia diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) Ketujuh, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Kuasa Orang Muda (KOM) untuk meningkatkan literasi politik dan penyertaan belia, melibatkan Kementerian Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Sumber Manusia.
  • Program MyGENTERA memperkasakan belia dalam keselamatan jalan raya melalui latihan dan platform kolaboratif oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya.
  • Pengukuhan pengumpulan data profil NEET oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia untuk sokong peluang pekerjaan, pendidikan dan latihan lebih inklusif.
  • Kalender Mega Rakan Muda "Satu Bulan, Satu Gaya Hidup" dan pelantikan 90 Teraju Muda setiap Parlimen kukuhkan jati diri belia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini termasuk penyertaan belia dalam hal ehwal demokrasi dan literasi politik, pemerkasaan peranan sebagai ejen perubahan serta pengukuhan data pembangunan belia.

Menurut beliau, antara inisiatif diluluskan ialah Program Kuasa Orang Muda (KOM) oleh IMPACT di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang bertujuan meningkatkan kepedulian belia terhadap politik dan demokrasi.

“Jelajah KOM akan dilaksana dengan penglibatan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia melalui penyertaan pelajar serta penyediaan kemudahan di institusi pendidikan dan latihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Program Generasi Sejahtera Malaysia (MyGENTERA) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia di bawah Kementerian Pengangkutan akan dilaksana sebagai platform memperkasa belia dalam bidang keselamatan jalan raya.

Beliau yang juga Pengerusi JKPB berkata, program itu memberi tumpuan kepada pembangunan belia sebagai pemimpin dan ejen perubahan melalui integrasi program, sumber dan platform sedia ada dengan kerjasama pelbagai kementerian.

Dalam pada itu, pelaksanaan pengumpulan data profil belia Not in Employment, Education or Training (NEET) oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia di bawah Kementerian Belia dan Sukan akan diperkukuh bagi menyokong pembangunan ekosistem belia yang lebih inklusif.

Usaha itu melibatkan kerjasama kementerian, jabatan dan agensi dalam pengumpulan serta pengemaskinian data, selain memperluas peluang pekerjaan, pendidikan dan latihan kepada golongan berkenaan.

Mesyuarat turut menyokong pelaksanaan Kalender Mega Rakan Muda dengan pendekatan “Satu Bulan, Satu Gaya Hidup” bagi memperkukuh pembentukan jati diri belia melalui pelbagai segmen termasuk Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital dan Rakan Aktif.

Inisiatif itu diperkukuh lagi dengan pelantikan 90 Teraju Muda di setiap Parlimen sebagai pemudah cara pelaksanaan program kerajaan di peringkat akar umbi.

“Saya yakin, dengan komitmen berterusan kerajaan serta kerjasama dan sokongan bersepadu daripada semua pihak, kita mampu memperkukuh agenda pembangunan belia secara menyeluruh,” katanya.