PKPS bangunkan tanah pertanian MINDEF, perkasa ekonomi veteran ATM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 April– Kerajaan Negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pertahanan bagi membangunkan tanah milik kementerian tersebut khusus untuk membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjana pendapatan selepas persaraan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek Ehsan Perwira dimulakan pada 20 ekar di lokasi seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor untuk permulaan.
  • Fokus pada pertanian moden, tanaman kontan seperti cili fertigasi dan timun bagi pendapatan cepat serta penglibatan produktif veteran.
  • Pilihan pengurusan termasuk gaji tetap RM2,100 sebulan atau sistem perkongsian hasil, dengan jaminan pasaran melalui rangkaian tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek perintis yang diberi nama Projek Ehsan Perwira itu akan dimulakan di atas kawasan seluas kira-kira 20 ekar di beberapa lokasi strategik, termasuk Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Inisiatif tersebut bertujuan memperkasakan kehidupan veteran dengan menyediakan peluang kerjaya dalam sektor pertanian moden, sekali gus memastikan mereka kekal produktif selepas tamat perkhidmatan.

“Kita akan pelbagaikan jenis tanaman tetapi buat permulaan, kita fokus kepada cili secara fertigasi dan tanaman lain bergantung kepada kesediaan. Kita mahukan tanaman kontan (cash crop) supaya peserta tidak perlu menunggu lama, bukan seperti durian yang memakan masa 10 ke 20 tahun. Mungkin kita akan tanam timun juga, bergantung kepada keadaan.”

“Sebagai permulaan, kita gunakan 20 ekar kawasan yang ada dengan penglibatan kira-kira 40 orang peserta. Jika kita peroleh tanah yang lebih luas, kita akan perluaskan lagi kerjasama ini. Buat masa ini, kita fokus kepada operasi pertama di Selangor dahulu yang melibatkan mereka (veteran). Jika fasa ini sukses, insya-Allah projek ini akan berjaya sepenuhnya,” kata Datuk Seri Amirudin selepas majlis pemeteraian Memorandum Kerjasama Pelaksanaan Projek Ehsan Perwira di ibu negara, hari ini.

Tambahnya, peserta turut diberi pilihan sama ada bekerja dengan gaji tetap sekitar RM2,100 sebulan atau melalui sistem perkongsian hasil.

“Kita menyediakan beberapa format pengurusan, antaranya peserta boleh bekerja dengan kita dengan tawaran gaji RM2,100 sebulan, atau mereka boleh memilih format perkongsian hasil. Apa yang penting, hasil pertanian mereka sudah ada jaminan pasaran kerana pihak Pasar Borong Selangor dan rangkaian perniagaan kita sendiri akan membeli hasil tersebut,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa projek itu memberi keutamaan sepenuhnya kepada tenaga kerja dalam kalangan veteran tanpa melibatkan pekerja asing.

Langkah inovatif itu bukan sahaja menggabungkan sektor pertanian dengan kebajikan sosial, malah membuka ruang bagi veteran ATM untuk menjana pendapatan secara mampan dan konsisten.