
PUTRAJAYA, 21 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM), diarah membuat siasatan menyeluruh berhubung insiden tular membabitkan seorang anggotanya yang didakwa memijak kepala seorang lelaki semasa tangkapan di Kulim, Kedah, baru-baru ini.
- Menteri arahkan siasatan menyeluruh dan meneliti pematuhan SOP oleh anggota terlibat.
- Jabatan Integriti akan digerakkan jika siasatan mendapati kemungkinan pelanggaran tatacara penguatkuasaan.
- Tindakan tidak boleh diambil terburu-buru; penilaian penuh diperlukan kerana rakaman singkat mungkin tidak mencerminkan keseluruhan kejadian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah menghubungi Ketua Polis Kedah bagi menyegerakan siasatan, termasuk, meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota terlibat.
Beliau berkata, siasatan akan meneliti sama ada wujud pelanggaran tatacara dalam pelaksanaan penguatkuasaan.
“Setiap tindakan penguatkuasaan oleh pegawai polis adalah berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan difahami oleh semua anggota yang menjalankan tugas.
Siasatan akan meneliti sama ada terdapat pematuhan terhadap tatacara penguatkuasaan tersebut.
Sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat keperluan, Jabatan Integriti akan digerakkan bagi menilai sama ada berlaku pelanggaran SOP atau sebaliknya.
Bagaimanapun, tindakan tidak boleh diambil secara terburu-buru kerana ia boleh menjejaskan semangat anggota polis dalam melaksanakan penguatkuasaan, terutama apabila berdepan suspek yang kadangkala bersikap agresif,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui media selepas menyaksikan majlis pemeteraian kontrak perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Putrajaya.
Tegas beliau, tindakan tidak boleh diambil secara terburu-buru terhadap anggota terlibat hanya berdasarkan rakaman video tular.
Sebaliknya, penilaian menyeluruh perlu dibuat memandangkan rakaman berkenaan mungkin tidak menggambarkan keseluruhan kejadian sebenar.
“Apa yang kita lihat hanyalah rakaman dalam tempoh yang sangat singkat, bagaimana dengan kejadian sebelum itu?
”Adakah suspek bertindak agresif? Adakah dia menunggang motosikal melawan arus atau melanggar kenderaan polis?
”Perkara-perkara tersebut perlu diambil kira, oleh demikian, biarlah pihak polis menjalankan siasatan terlebih dahulu.
”Jangan kita membuat penilaian hanya berdasarkan video beberapa saat, kerana mungkin terdapat aspek lain yang berlaku sebelum insiden itu dirakam dan ditularkan,” katanya.
Terdahulu, PDRM mengesahkan video tular berdurasi 29 saat itu memaparkan kejadian tangkapan membabitkan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra, Kulim, dalam operasi rondaan cegah jenayah.
Rakaman berkenaan menunjukkan seorang lelaki ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota polis terbabit.