Cadangan pelaksanaan cukai karbon dikaji semula

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 21 April – Cadangan pelaksanaan cukai karbon akan dikaji semula dengan mengambil kira krisis bekalan global dan geopolitik semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan cukai karbon akan dikaji semula; kerajaan tidak mahu membebankan industri atau pengguna sekarang.
  • Cukai karbon di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan; NRES menyediakan rangka perdagangan karbon.
  • Sebarang keputusan mengenai cukai memerlukan penyelarasan dengan Kementerian Kewangan.
  • DPKK dilancarkan, pendaftaran karbon kebangsaan akan menyediakan data holistik pelepasan dan sokong komitmen NDC.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerajaan tidak mahu membebankan industri atau rakyat biasa atau pengguna pada masa ini.

Jelas beliau, walaupun Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bertanggungjawab menyediakan rangka kerja bagi perdagangan karbon, cukai karbon terletak bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan (MoF).

“Kerajaan tidak mahu membebankan industri atau rakyat pada masa ini. Maka, pelaksanaan cukai karbon akan dikaji semula. Namun, penetapan cukai karbon adalah di bawah Kementerian Kewangan (MoF), bukan NRES. Kami menyediakan kerangka perdagangan karbon, manakala aspek cukai perlu dilaksanakan bersama MoF kerana ia di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Justeru, katanya, sebarang keputusan mengenai pelaksanaan cukai itu memerlukan penyelarasan dengan MoF.

Datuk Seri Arthur berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Perubahan Iklim dan Kelestarian 2026, anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Hotel M World.

Bersempena persidangan itu, beliau turut melancarkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK).

DPKK akan berfungsi sebagai panduan untuk memacu agenda penyahkarbonan negara berlandaskan landskap pasaran karbon tempatan dan global terkini.

Menurutnya, bagi menyokong sasaran itu, pendaftaran karbon kebangsaan akan ditubuhkan.

“Dengan adanya pendaftaran karbon kebangsaan, kita akan mempunyai data holistik mengenai pelepasan karbon di negara ini, termasuk bagaimana ia boleh diukur, dinilai dan diperdagangkan dalam pasaran antarabangsa” katanya.

Datuk Seri Arthur menjelaskan, pelaksanaan DPKK adalah sebahagian daripada komitmen Malaysia bawah Perjanjian Paris melalui matlamat Sumbangan Ditentukan Negara atau ‘Nationally Determined Commitments (NDC)’, dengan sasaran pelepasan karbon memuncak dalam tempoh kurang daripada satu dekad.

Pelepasan karbon negara dijangka mencapai tahap maksimum seawal tahun 2029 hingga 2034.