
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Pelaksanaan program BUDI Diesel yang dijadualkan bermula 1 Julai ini tidak akan memberi sebarang kesan fiskal tambahan kepada perbelanjaan subsidi keseluruhan kerajaan.
- Program ini bukan peluasan subsidi; ia penyusunan semula mekanisme sedia ada agar lebih bersasar.
- Subsidi tunai diesel dihentikan; semua subsidi dimasukkan di bawah kerangka BUDI untuk penyaluran lebih terarah.
- Teknologi BUDI membantu mengekang penyeludupan dan mengurangkan ketirisan, memastikan hanya rakyat tempatan layak.
- Kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian layak; harga bersubsidi baharu RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah tersebut bukan merupakan perluasan program bantuan baharu, sebaliknya hanyalah satu proses penyelarasan dan penyusunan semula mekanisme subsidi sedia ada agar lebih bersasar.
“Tiada perluasan program subsidi. Pada asasnya, kita kini meletakkan segala-galanya, termasuk diesel, di bawah kerangka BUDI.
“Sebelum ini, sejak 2024, pengguna diesel diberikan subsidi RM200 dan kemudian ditambah lagi RM200. Kini, kita tidak lagi memberikan subsidi tunai. Kita meletakkan semuanya di bawah kerangka BUDI,
“Intinya ialah kita menggabungkan semua ini kerana teknologi telah membuktikan, dan kita telah melihatnya melalui BUDI95, bahawa kita mampu memastikan rakyat Malaysia mendapat petrol bersubsidi mengikut kuantiti yang ditetapkan, manakala warga asing tidak akan mendapatkannya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Persidangan Fokus Percukaian Pertengahan Tahun ACCA 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Chin Tong berkata pendekatan penyelarasan berasaskan teknologi itu turut membolehkan kerajaan mengekang aktiviti penyeludupan dan mengurangkan ketirisan, sekali gus memastikan hanya rakyat tempatan yang layak terus menikmati manfaat berkenaan.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak bakal menikmati harga diesel bersubsidi baharu pada RM2.10 seliter bermula bulan hadapan.
Menerusi skim BUDI Diesel, harga runcit bahan api tersebut di seluruh negara akan diseragamkan mengikut harga pasaran tanpa subsidi, manakala mekanismenya akan disalurkan secara bersasar melalui pengesahan MyKad di semua stesen minyak.