
Kuala Lumpur, 24 Jun – Status Koperasi Tentera sebagai koperasi premier kekal utuh selepas mencatatkan penguasaan aset melebihi RM3 bilion, sekali gus membuktikan kedudukan kewangan yang kukuh di pasaran.
- Koperasi mencatatkan pendapatan bersih RM278 juta bagi 2025 dan keuntungan sebelum cukai serta zakat sebanyak RM153 juta.
- Lembaga mencadangkan pembayaran dividen 7.3% dengan jumlah agihan RM126.2 juta, memberi manfaat kepada lebih 154,000 anggota.
- Tiga keutamaan ditetapkan: kebajikan anggota, memperkukuh asas kewangan dan menjadi pemangkin kesejahteraan warga pertahanan.
- Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari memuji komitmen anggota sejak penubuhan ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari melahirkan rasa bangga dengan pencapaian tersebut yang melambangkan kepercayaan dibina selama enam dekad.
Katanya, kejayaan tersebut didorong komitmen berterusan para anggota yang setia bersama Koperasi Tentera sejak penubuhannya.
“Bagi tahun 2025, koperasi mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM278 juta, meningkat berbanding RM253 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
”Pada masa yang sama, keuntungan sebelum cukai dan zakat turut mencatat prestasi memberangsangkan dengan mencecah RM153 juta.” katanya
Tambah beliau, pembayaran dividen sebanyak 7.3 peratus turut dicadang Lembaga Koperasi dengan jumlah agihan mencecah RM126.2 juta.
Ia akan memberi manfaat kepada lebih 154,000 anggota.
Jelas Adly lagi, untuk kekal relevan, berkembang dan menyesuaikan diri mengikut perubahan zaman, Koperasi Tentera perlu memberi perhatian kepada tiga keutamaan.
”Pertama, kebajikan dan kepentingan anggota mesti sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan keputusan yang dibuat.
”Kedua, koperasi perlu terus memperkukuh asas kewangannya bagi memastikan pertumbuhan yang mampan serta daya tahan organisasi dalam jangka panjang.
”Ketiga, badan ini perlu terus memainkan peranan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan warga pertahanan dan keluarga mereka melalui pelbagai inisiatif serta perkhidmatan yang ditawarkan.’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad kali ke-60 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur.