
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Bekalan makanan negara berada dalam keadaan stabil dan dijangka mencukupi sehingga Disember tahun ini meskipun berdepan ketidaktentuan global akibat konflik Asia Barat.
- Kerajaan memantau konflik antarabangsa, termasuk Israel, Amerika Syarikat dan Iran, yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan makanan global.
- Kerajaan memberi jaminan bekalan tenaga negara terkawal dan terjamin buat masa ini.
- Bersedia menghadapi fenomena El Niño, dengan pemantauan sektor pertanian bagi mengurangkan impak terhadap bekalan makanan.
- Akan keluarkan amaran awal kepada rakyat dan bekerjasama dengan negara ASEAN untuk menampung pengurangan hasil pertanian jika perlu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan kerajaan sentiasa memantau perkembangan konflik di rantau berkenaan termasuk perkara-perkara yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan negara.
“Kerajaan turut memantau perkembangan konflik melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran yang berpotensi memberi kesan kepada rantaian bekalan global. Walaupun diharapkan konflik tersebut dapat diredakan, kerajaan mengakui bahawa keadaan geopolitik antarabangsa sukar diramalkan”, katanya pada sidang media majlis pelepasan rasmi kontena eksport nanas segar MD2 ke New Zealand di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini hari ini.
Jelas beliau, kerajaan turut memberi jaminan bahawa bekalan tenaga negara berada dalam keadaan terkawal dan terjamin buat masa ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad Sabu turut memaklumkan, kerajaan telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berhubung fenomena El Niño yang boleh menjejaskan sektor pertanian dan bekalan makanan negara.
Menurut beliau, amaran awal akan dikeluarkan kepada rakyat sekiranya berlaku perubahan cuaca yang ketara.
Pada masa sama, pihaknya akan terus memantau sektor pertanian bagi memastikan bekalan makanan kekal mencukupi.
Ujar beliau, kerajaan turut akan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN untuk saling membantu menampung bekalan makanan sekiranya berlaku pengurangan hasil pertanian akibat fenomena El Niño.