
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kejayaan Malaysia mengeksport nanas segar ke New Zealand membuktikan kualiti produk pertanian negara kini diiktiraf di peringkat global.
- Akses pasaran baharu ke New Zealand kukuhkan rantaian nilai industri nanas dari pengusaha ladang hingga pengeksport.
- Kolaborasi strategik antara KPKM, KKDW dan Kedutaan New Zealand memacu pembukaan pasaran berpiawaian tinggi.
- Nilai eksport permulaan dianggarkan melebihi RM4 juta setahun, menyokong sasaran eksport nanas RM2 bilion menjelang 2027.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, akses pasaran baharu itu akan memberi impak besar kepada pengukuhan rantaian nilai industri nanas domestik bermula daripada peringkat pengusaha ladang sehinggalah ke sektor pengeksportan.
Beliau menjelaskan, langkah meneroka pasaran berpiawaian tinggi seperti New Zealand bukan sahaja mengesahkan standard premium produk tempatan, malah membuka ruang pasaran yang lebih luas bagi buah-buahan tempatan lain pada masa hadapan.
“Penembusan pasaran ini adalah hasil kolaborasi strategik antara kementerian, khususnya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), dengan sokongan padu daripada Kedutaan New Zealand.”
“Buat permulaan, nilai eksport dianggarkan mencecah lebih RM4 juta setahun dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat dalam tempoh akan datang,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontena Nanas Segar ke New Zealand di Menara LPP di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.
Akses pasaran ke New Zealand merupakan hasil rundingan berterusan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan KPKM, yang akhirnya dimuktamadkan semasa Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Sanitari dan Fitosanitari Kawasan Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand (MNZFTA) di Wellington pada 6 Oktober tahun lepas.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata perkembangan positif dengan anggaran nilai dagangan sekitar RM360,000 sebulan ini menjadi pemangkin utama dalam usaha negara mencapai sasaran keseluruhan nilai eksport industri nanas sebanyak RM2 bilion menjelang tahun 2027.