
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Seramai 42,807 pekerja dilaporkan kehilangan pekerjaan antara Januari hingga 12 Jun lalu, menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.
- Sebanyak 17,485 pekerja atau 40.85 peratus terjejas akibat penutupan perniagaan dan pengecilan operasi syarikat.
- AI bukan punca kehilangan pekerjaan; penguasaan kemahiran berkaitan teknologi penting bagi membolehkan tenaga kerja menyesuaikan diri.
- KESUMA mengambil pendekatan proaktif dan menyeluruh untuk memastikan peralihan pendigitalan dan penggunaan AI berlaku secara adil.
- Kajian TalentCorp menganggarkan kira-kira 697,000 pekerjaan berisiko terkesan dalam tiga hingga lima tahun sekiranya gagal meningkatkan kemahiran.
Menurut beliau, sebanyak 17,485 pekerja atau 40.85 peratus daripada jumlah berkenaan terjejas akibat penutupan perniagaan dan pengecilan operasi syarikat.
Menurutnya, kecerdasan buatan (AI) bukan punca kehilangan pekerjaan namun penguasaan kemahiran berkaitan teknologi itu penting bagi membolehkan tenaga kerja menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan industri pada masa hadapan
“Kerajaan yakin AI adalah pemangkin kepada peningkatan kualiti pekerjaan sedia ada serta penciptaan pekerjaan baharu yang berkemahiran tinggi.
“KESUMA mengambil pendekatan proaktif dan menyeluruh bagi memastikan peralihan ke arah pendigitalan dan penggunaan AI berlaku secara saksama.
“Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, KESUMA sentiasa berusaha memastikan transformasi ini tidak akan menggugat peluang pekerjaan jutaan rakyat,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) di Dewan Rakyat mengenai sejauh mana faktor automasi dan AI mempengaruhi trend penutupan dan pengecilan syarikat di Lembah Klang.
Beliau berkata, pasaran pekerjaan negara masih menawarkan peluang yang luas apabila portal MyFutureJobs merekodkan 606,168 kekosongan jawatan berbanding 188,062 pencari kerja termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.
Daripada keseluruhan individu yang kehilangan pekerjaan itu, seramai 13,999 orang atau kira-kira 33 peratus berjaya mendapatkan pekerjaan semula menerusi portal MyFutureJobs.
Ramanan berkata, kerajaan mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan peralihan ke arah pendigitalan dan penggunaan AI berlaku secara adil tanpa menjejaskan peluang pekerjaan rakyat.
Dalam masa sama, pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula terus dilaksanakan bagi membantu pekerja menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Sementara itu, Ramanan berkata kajian TalentCorp mendapati kira-kira 697,000 pekerjaan berisiko terkesan akibat perkembangan teknologi dan ekonomi hijau dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Menurut beliau, risiko itu boleh berlaku sekiranya pekerja gagal meningkatkan kemahiran serta menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan pasaran kerja.