Garis panduan LAE dijangka siap hujung tahun ini

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke / Foto RTM

PUTRAJAYA, 24 Jun – Garis Panduan Ekonomi Altitud Rendah (LAE) dijangka siap dan diumumkan menjelang penghujung tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • CAAM membangunkan garis panduan untuk memberi hala tuju jelas kepada pelabur dan pengendali teknologi ruang udara altitud rendah.
  • Garis panduan penting bagi memastikan pembangunan LAE dilaksanakan secara teratur, selamat dan berdaya saing.
  • Keselamatan dan kawal selia CAAM menjadi keutamaan; semua operasi ruang udara perlu mendapat kelulusan teknikal.
  • Pembangunan ekosistem LAE memerlukan pendekatan seluruh kerajaan, penglibatan sektor swasta, agensi dan komuniti akademik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, garis panduan itu sedang dibangunkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi menyediakan hala tuju jelas kepada pemain industri yang mahu melabur serta mengoperasikan teknologi berkaitan ruang udara altitud rendah.

Menurut beliau, garis panduan itu penting bagi memastikan pembangunan sektor LAE di negara ini dilaksanakan secara teratur, selamat dan berdaya saing.

“Kita berharap dapat di umumkan pada penghujung tahun ini. Pada penghujung tahun ini Kementerian Perangkutan juga akan menganjurkan satu ekspo berkenaan dengan pengangkutan yang dinamakan sebagai Transport Expo Asia (TXA).”

“Jadi dalam ekspo ini kita punya harapan ialah kita dapat melancarkan pelbagai inisiatif baik pengangkutan udara, darat ataupun laut dan kita mengalu-alukan penglibatan sektor swasta untuk mempamerkan teknologi modern mereka.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Forum LAE 2026 di Putrajaya.

Anthony berkata, LAE merangkumi aktiviti ekonomi dan perkhidmatan awam yang dijalankan dalam ekosistem ruang udara altitud rendah melalui penggunaan teknologi seperti dron atau UAS, AAM, logistik udara, pemeriksaan infrastruktur, pertanian pintar dan perkhidmatan kecemasan.

Katanya, aspek keselamatan turut menjadi keutamaan memandangkan semua operasi di ruang udara negara perlu mendapat kelulusan dan kawal selia CAAM sebagai pengawal selia teknikal industri penerbangan.

Jelas beliau, kawal selia itu penting susulan penggunaan dron yang kini semakin meluas, termasuk bagi pengangkutan kargo, mobiliti penumpang, misi penyelamatan, kebakaran dan sektor pertanian.

Dalam masa sama, isu pentauliahan teknologi turut diberi perhatian bagi memastikan teknologi yang dibawa masuk dari luar negara selamat digunakan di Malaysia.

Anthony berkata, pembangunan ekosistem LAE memerlukan pendekatan seluruh kerajaan dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi, sektor swasta dan ahli akademik.

Forum LAE 2026 merupakan forum pertama seumpamanya dianjurkan CAAM bagi meneroka potensi ekonomi baharu berasaskan teknologi penerbangan altitud rendah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.