
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Kerajaan akan mengenakan penalti terhadap syarikat pusat data yang memohon kapasiti bekalan air dan tenaga secara berlebihan sekiranya gagal menggunakan kapasiti seperti yang diisytiharkan.
- Langkah bertujuan menangani isu 'phantom demand' permintaan utiliti yang tidak mencerminkan keperluan sebenar.
- Permohonan kapasiti mesti tepat dan berdasarkan keperluan sebenar termasuk aspek penggunaan air dan tenaga elektrik.
- Cadangan pelaburan pusat data dinilai oleh Data Centre Task Force (DCTF) yang dipengerusikan oleh MITI.
Timbalan Perdana Menteri, Merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu bertujuan menangani isu “phantom demand” atau permintaan utiliti yang tidak mencerminkan keperluan sebenar.
“Kalau mereka memerlukan kapasiti tertentu, mereka perlu memberi komitmen. Jika kapasiti yang dipohon tidak digunakan, mereka boleh dikenakan penalti.
“Ini bagi memastikan permohonan yang dikemukakan adalah tepat dan berdasarkan keperluan sebenar, termasuk melibatkan penggunaan air serta tenaga elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid di Dewan Rakyat hari ini.
Fadillah berkata, semua cadangan pelaburan pusat data dinilai menerusi Data Centre Task Force (DCTF) yang dipengerusikan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurutnya, pasukan itu berperanan meneliti keperluan sebenar pelabur termasuk aspek bekalan air dan tenaga sebelum sesuatu projek dipertimbangkan untuk kelulusan.