
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Seramai 5,776 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan memanfaatkan platform MyMall yang merekodkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM24.5 juta setakat 31 Mei lalu.
- MyMall diperkenalkan pada 2022, menyediakan ruang pemasaran e-dagang percuma kepada PMKS dan koperasi tempatan.
- Platform digital membantu usahawan PMKS meluaskan pasaran, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan daya saing dalam ekonomi digital.
- Kerjasama Tekun Nasional dan TikTok Shop sediakan studio siaran langsung untuk 1,054 usahawan dan catat jualan terkumpul RM35.1 juta.
Pencapaian itu dicatat ketika peniaga tempatan berdepan persaingan semakin sengit daripada platform luar negara.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, pencapaian itu menunjukkan platform digital membantu PMKS meluaskan pasaran perniagaan serta mengurangkan kos operasi.
Beliau berkata, platform MyMall yang diperkenalkan pada 2022 itu menyediakan ruang pemasaran e-dagang secara percuma kepada PMKS dan koperasi tempatan.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan daya saing usahawan dalam ekonomi digital serta memperluas akses pasaran kepada produk tempatan.
“KUSKOP kekal komited membantu usahawan PMKS mengatasi cabaran termasuk peningkatan kos operasi perniagaan menerusi pelbagai inisiatif pendigitalan.
“Usahawan PMKS digalakkan memanfaatkan platform seperti MyMall untuk memperluaskan pasaran dan mengembangkan perniagaan secara dalam talian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain MyMall, kerjasama antara Tekun Nasional dan TikTok Shop turut memberi manfaat kepada usahawan menerusi penyediaan studio khas bagi membolehkan mereka menjalankan sesi siaran langsung menggunakan teknologi terkini.
Katanya, setakat ini seramai 1,054 usahawan menggunakan kemudahan itu dan berjaya mencatatkan jualan terkumpul RM35.1 juta.