
KUALA LUMPUR, 24 Jun – Beberapa langkah kawal selia ditetapkan bagi memastikan mekanisme pengesahan usia tidak dimanipulasi syarikat pemberi perkhidmatan susulan penguatkuasaan had umur 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial.
- Pengesahan usia mesti disokong rekod rasmi kerajaan, bukan sekadar pengisytiharan sendiri oleh pengguna.
- Mekanisme pengesahan dilaksanakan berdasarkan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan sijil kelahiran.
- Kod Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 mula berkuat kuasa 1 Jun 2026; kegagalan mematuhi boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, antara langkah ditetapkan ialah pengesahan usia mesti disokong rekod rasmi kerajaan dan bukan sekadar pengisytiharan sendiri oleh pengguna.
Mekanisme pengesahan usia perlu dilaksana berdasarkan dokumen rasmi dikeluarkan Kerajaan Malaysia seperti MyKad, pasport dan sijil kelahiran.
“Malaysia mempunyai kelebihan dari segi pelaksanaan pengesahan umur kerana setiap rakyat menerima MyKid sejak lahir dan MyKad apabila mencapai usia 12 tahun.
“Kerajaan berpandangan dokumen rasmi berkenaan wajar dimanfaatkan sebagai asas pengesahan umur pengguna, bukannya untuk tujuan pengesahan identiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bangi, Shahredzan Johan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, pemberi perkhidmatan media sosial perlu melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak melalui reka bentuk selain meningkatkan perlindungan bersesuaian dengan usia.
Tindakan undang-undang akan dikenakan jika gagal mematuhi ketetapan ditetapkan.
Langkah berkenaan diperuntukkan menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866).
CPC bersama Kod Pengurangan Risiko (RMC) diterbitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 22 Mei 2026.
Penetapan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial bertujuan melindungi kanak-kanak dan keluarga daripada kemudaratan dalam talian.
Pendaftaran dan pemilikan akaun media sosial hanya dibenarkan selepas mencapai umur 16 tahun, dengan penyedia platform diwajibkan melaksana mekanisme pengesahan umur.