
SEREMBAN, 24 Jun – Pembaharuan Program BUDI MADANI yang memperuntukkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter menerusi mekanisme pengesahan MyKad mendapat reaksi positif daripada rata-rata pengguna kenderaan diesel di Negeri Sembilan.
- Orang ramai sambut baik pelaksanaan 1 Julai, anggap langkah proaktif kurangkan kos sara hidup dan bantu golongan sasar.
- Pengesahan MyKad dipuji tepat, mudahkan pemberian subsidi dan mengurangkan ketirisan serta penyeludupan bahan api.
- Kuota tambahan hingga 100 liter disambut peniaga kecil, pemandu dan pemilik pikap; permohonan dibuka sejak 22 Jun.
Pelaksanaan menyeluruh bermula 1 Julai ini disifatkan sebagai langkah proaktif kerajaan dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar, sekali gus mengurangkan impak kos sara hidup.
Tinjauan RTM mendapati orang ramai menyifatkan pendekatan bersasar berkenaan sebagai satu pembaharuan yang mampan, bukan sahaja meringankan beban perbelanjaan harian malah dilihat mampu mengurangkan aktiviti ketirisan dan penyeludupan bahan api.
Bagi pemandu kilang, Sarivintreran Supramaniam, beliau menyambut baik langkah kerajaan ini kerana ia dapat mengurangkan kos penggunaan harian, terutama bagi mereka yang menggunakan kenderaan diesel untuk bekerja dan menjalankan perniagaan.
“Saya menyambut baik langkah kerajaan ini kerana dapat mengurangkan kos penggunaan harian, terutama bagi mereka yang menggunakan kenderaan
diesel untuk bekerja dan menjalankan perniagaan”, ujarnya.
Pandangan sama turut dikongsi rakannya, Mohd Yazid Kamarudin yang menyifatkan sistem pengesahan berasaskan MyKad sebagai mekanisme yang tepat dalam mengelak ketirisan selain memudahkan urusan
“Ya, lebih mudah kerana subsidi diberikan secara automatik menggunakan MyKad tanpa perlu berurusan dengan banyak dokumen. Ini juga memastikan hanya rakyat yang layak menerima manfaat tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pemandu kilang, Chai Tzyy Long berharap penjimatan kos bahan api ini dapat membantu menstabilkan harga barang dan perkhidmatan, selain meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Bagi pemandu persendirian, Ong Che Hong, inisiatif kuota tambahan amat dinantikan memandangkan perbelanjaan harian yang tinggi.
“Ini pekerja bulan-bulan bayar minyak, hari-hari isi RM50 hingga RM100 pun tak cukup. Hari-hari juga mahu bantuan, tengok boleh tambah lagi 100 liter la,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pegawai Pos Malaysia Berhad, Mohd Rusydi Md Akhir percaya sistem pengesahan MyKad adalah mekanisme terbaik untuk membanteras penyelewengan.
“Saya percaya ia boleh membantu kerana subsidi kini lebih bersasar kepada rakyat Malaysia.
“Apabila pembelian disahkan pakai MyKad, nanti penyalahgunaan MyKad tu kita boleh dapat kesan dan ketirisan dapat dikurangkan,” katanya.
Bagi peniaga trak makanan yang ditemui, Nurshakira Abdul Razif menyifatkan pemberian kuota tambahan sehingga 100 liter sebulan merupakan suntikan semangat buat pengusaha kecil sepertinya.
“Saya rasa kuota tambahan sehingga 100 liter ini sebulan sangat membantu saya. Saya menggunakan trak makanan roti bakar ini untuk urusan kerja dan perjalanan jauh.
“Jadi pengurangan kos bahan api ini memberi kesan yang sangat besar kepada saya,” jelasnya.
Sementara itu, permohonan kuota tambahan bagi pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip telah dibuka mulai 22 Jun lepas.
Manakala pelaksanaan penuh pembaharuan subsidi diesel BUDI MADANI akan berkuat kuasa di seluruh negara bermula 1 Julai ini.