
ARAU, 1 Oktober – Institusi raja merupakan pasak kepada kestabilan, benteng kedaulatan serta payung penyatuan rakyat.
- Raja berkecuali dalam Raja Berperlembagaan mengimbangi politik, menjamin kelangsungan pemerintahan dan memupuk keharmonian antara kaum dan agama.
- Warisan, budaya dan bahasa mesti diperkasa sebagai kekuatan strategik dan lambang identiti, bukan sekadar peninggalan sejarah.
- Khazanah tradisi perlu bergerak seiring inovasi dan teknologi agar terus relevan dan mampu diketengahkan ke persada antarabangsa.
- Wacana Adiwangsa 2026 sebagai platform intelektual memperkukuh penghayatan terhadap institusi raja serta membentuk generasi muda berjati diri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kedudukan institusi raja yang berkecuali dalam kerangka Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen memainkan peranan penting dalam memelihara keseimbangan politik, menjamin kelangsungan pemerintahan serta memperkukuh keharmonian masyarakat merentasi kaum dan agama.
Baginda bertitah, warisan, budaya dan bahasa perlu diperkasa sebagai kekuatan strategik serta lambang identiti yang bernilai tinggi, bukan sekadar peninggalan sejarah.
“Khazanah tradisi juga perlu bergerak seiring inovasi dan teknologi agar terus berkembang, relevan serta mampu diketengahkan ke persada antarabangsa”, titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan ‘Wacana Adiwangsa 2026: Institusi Raja, Warisan dan Jiwa Bangsa’ di Dewan Seri Semarak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, pada Rabu.
Wacana Adiwangsa 2026 anjuran UiTM Cawangan Perlis menjadi platform intelektual bagi memperkukuh penghayatan masyarakat terhadap institusi raja serta kepentingan memelihara warisan, budaya dan jati diri bangsa.
Program berkenaan turut memberi tumpuan kepada usaha membentuk generasi muda yang memahami sejarah, menghargai warisan serta memiliki jati diri yang kukuh dalam mendepani perubahan semasa.
Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda disambut Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor.