
KUALA LUMPUR, 17 April – Pelaburan dalam kesihatan wanita perlu diberi perhatian sebagai persiapan mendepani situasi Malaysia menuju negara tua menjelang tahun 2030.
- Wanita mempunyai jangka hayat lebih panjang tetapi menghadapi risiko penyakit kronik dan kehilangan keupayaan pada usia tua.
- Cabaran kesihatan termasuk radang sendi, menopaus, tulang rapuh, masalah uroginekologi, kemurungan dan penyakit tidak berjangkit.
- Kerajaan melaksanakan inisiatif meningkatkan literasi kesihatan fizikal dan mental melalui penganjuran advokasi serta program khusus.
- Memperkasa institusi kekeluargaan sebagai sokongan utama; MAWHC mengetengahkan inovasi dan pendekatan terkini memberi manfaat kepada wanita.
Sekali gus, memastikan kesejahteraan generasi masa hadapan.
Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hanani Sapit menyatakan, purata jangka hayat wanita adalah lebih tinggi iaitu 77.9 tahun, berbanding 73.1 tahun bagi lelaki.
Bagaimanapun, kaum hawa ini lebih berisiko menghadapi penyakit kronik dan hilang upaya di peringkat usia emas.
“Seiring peningkatan usia, wanita turut berhadapan pelbagai cabaran kesihatan seperti radang sendi, menopaus, tulang rapuh, masalah uroginekologi, kemurungan serta penyakit tidak berjangkit,” katanya pada majlis perasmian Kongres Kemajuan Kesihatan Wanita Malaysia (MAWHC) 2026.
Jelasnya, pelbagai inisiatif dilaksana kerajaan bagi memperkukuh kesejahteraan wanita secara menyeluruh, antaranya meningkatkan literasi kesihatan wanita termasuk mental dan fizikal menerusi penganjuran advokasi.
Selain itu, usaha memperkasa institusi kekeluargaan akan diberi tumpuan mengambil kira kepentingan peranan ahli keluarga dalam memelihara kesihatan wanita menuju usia emas secara menyeluruh.
Mengenai MAWHC, beliau berkata penganjuran edisi kelima ini mengetengahkan pelbagai inovasi dan pendekatan terkini yang memberi manfaat kepada kaum hawa.