RTM Labuan perkenal tiga hala tuju ‘penyiaran pintar’

Howard Martin Kim Sung@Cornelius, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan/RTM

LABUAN, 17 April- Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Wilayah Persekutuan Labuan memperkenalkan tiga hala tuju baharu menerusi pendekatan penyiaran pintar sebagai fokus utama tahun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan lebih tangkas untuk menghadapi perubahan landskap media yang semakin dinamik.
  • Integrasi kecerdasan buatan dalam suntingan dan analisis data untuk kandungan relevan masa nyata.
  • Perkasa kandungan tempatan berimpak global melalui kualiti visual dan penceritaan bertaraf antarabangsa.
  • Utamakan integriti kewartawanan agar RTM kekal sumber rujukan sahih menentang berita palsu.

Pendekatan itu menekankan keperluan organisasi untuk bergerak lebih tangkas atau “agile” dalam mendepani perubahan landskap media yang semakin dinamik.

Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Howard Martin Kim Sung@Cornelius berkata antara teras utama yang digariskan ialah penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi penyiaran.

Beliau berkata teknologi tersebut akan diintegrasikan dalam proses suntingan serta analisis data bagi memastikan kandungan yang dihasilkan sentiasa relevan dan dikemas kini secara masa nyata.

Selain itu, RTM Labuan turut memberi penekanan terhadap penghasilan kandungan tempatan berimpak global dengan memperkasa naratif setempat agar mampu menepati piawaian antarabangsa, khususnya dari segi kualiti visual dan penceritaan.

Dalam masa sama, aspek integriti kewartawanan terus menjadi keutamaan bagi memastikan RTM kekal sebagai sumber rujukan sahih dalam kalangan masyarakat.

“Di tengah-tengah lambakan berita palsu atau fake news, RTM Labuan harus kekal sebagai The Golden Standard atau sumber rujukan paling sahih untuk komuniti setempat agar jabatan ini terus dipercayai sepenuhnya dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Penyiaran Labuan di sini hari ini.

Tambah beliau, langkah tersebut selaras dengan usaha berterusan RTM dalam memperkukuh peranannya sebagai penyampai maklumat utama negara di samping menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta keperluan semasa penonton.