Penyebaran hantaran, komen hasutan perlu dibendung

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 April – Peningkatan trend penyebaran hantaran serta komen berunsur hasutan dan provokasi, khususnya berkaitan dasar kerajaan dan isu semasa perlu dibendung bagi mewujudkan keharmonian ruang siber terus terpelihara, sekali gus menjadikan persekitaran maya yang positif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbuatan dan komen berunsur hasutan melanggar Akta Hasutan 1948; dianggap kecenderungan menghasut menurut seksyen 3(1)(a).
  • Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
  • Setakat Mac 2026, 30 kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan sebagai contoh tindakan penguatkuasaan.
  • Orang ramai diingatkan menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memelihara keharmonian ruang siber.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dalam satu kenyataan menegaskan, sekiranya perkara itu tidak ditangani secara berhemah ia berpotensi mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat sekiranya tidak ditangani melalui penguatkuasaan yang berkesan.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Akta hasutan 1948 [Akta 15], yang melarang sebarang perbuatan, ucapan atau penerbitan yang berkecenderungan menghasut atau menimbulkan
kebencian terhadap institusi diraja dan kerajaan.

“Menurut seksyen 3(1)(a) Akta 15, sesuatu ‘kecenderungan menghasut’ ialah kecenderungan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Mengikut statistik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), setakat Mac 2026, sebanyak 30 kes telah disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Peruntukan itu melibatkan kesalahan melakukan atau cuba melakukan perbuatan serta mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap institusi diraja, kaum, pentadbiran keadilan dan kerajaan.

Bagi kesalahan tersebut, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan media sosial secara berhemah serta bertanggungjawab.