
KUALA LUMPUR, 17 April – Sebanyak 255 koleksi Jabatan Muzium Malaysia yang merangkumi koleksi etnologi dan alam semula jadi kini boleh dicapai secara digital dan interaktif melalui inisiatif transformasi teknologi oleh Kementerian Perpaduan Negara.
- 135 unit koleksi etnologi telah didigitalkan, mewakili kepelbagaian kaum dan etnik negara.
- 11 artifak diisytiharkan dalam Daftar Warisan Kebangsaan; koleksi seramik, senjata, pakaian dan perhiasan turut dipamerkan.
- Pameran Maya Muzium Alam Semula Jadi memaparkan 120 spesimen flora dan fauna secara interaktif melalui realiti maya dan laman web.
Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 135 unit koleksi etnologi telah didigitalkan merangkumi pelbagai kategori yang mewakili kepelbagaian kaum serta etnik di negara ini.
“Sebanyak 11 artifak telah diisytiharkan dalam Daftar Warisan Kebangsaan, selain koleksi seperti seramik, seramik senjata, pakaian serta perhiasan diri tradisional turut dipamerkan.
“Untuk makluman, Pameran Maya Muzium Alam Semula Jadi ini membolehkan masyarakat menelusuri sebanyak 120 koleksi spesimen flora dan fauna secara interaktif melalui teknologi realiti maya, selain boleh diakses menerusi laman sesawang,” katanya demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pendigitalan Koleksi dan Pameran Maya Muzium Alam Semula Jadi disini hari ini.
Menurut Haslina, program tersebut merupakan usaha kementerian untuk mentransformasi penyampaian perkhidmatan muzium kepada rakyat dalam mendepani era digital yang semakin pesat.
Jelasnya, langkah itu penting dalam memperluas akses masyarakat terhadap ilmu, selain memperkukuhkan pemahaman terhadap sejarah dan budaya negara, terutama bagi generasi muda yang lebih cenderung menggunakan teknologi untuk mendapatkan maklumat.
Beliau turut berharap agar usaha pendigitalan tersebut akan terus diperkukuh melalui penambahbaikan yang konsisten supaya institusi muzium kekal relevan sebagai pusat ilmu berwibawa dan rujukan utama dalam memelihara warisan negara.