
KUALA LUMPUR, 17 April – Kerajaan bersetuju melaksanakan pengenaan surcaj bahan bakar bunker secara bersasar bagi perkhidmatan feri penumpang dan feri roll-on roll-off (RORO) sebagai langkah mitigasi sementara bagi menangani peningkatan kos operasi perkhidmatan feri.
- Surcaj bahan bakar berkuat kuasa 20 April sehingga diberitahu, tertakluk kepada keputusan kerajaan.
- Penduduk setempat dan pengguna harian seperti komuter dikecualikan daripada bayaran; pelancong termasuk antarabangsa dikenakan.
- Sistem 'pass-through cost' terhad: hanya sebahagian kecil peningkatan kos bahan api dipindahkan kepada pengguna.
- Kadar surcaj berperingkat mengikut julat harga minyak (0% hingga RM4.00/L hingga maksima 18% >RM8.00/L); disemak setiap bulan.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan mmaklumkan, pelaksanaan surcaj tersebut akan mula berkuat kuasa pada 20 April ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, tertakluk kepada keputusan kerajaan.
“Surcaj ini akan dikenakan kepada pengguna awam dan pelancong, termasuk pelancong antarabangsa. Bagaimanapun, penduduk setempat serta pengguna harian seperti komuter dikecualikan daripada bayaran tersebut.
“Pengenaan surcaj dibuat berdasarkan pendekatan ‘pass-through cost’ secara terhad, di mana hanya sebahagian kecil peningkatan kos bahan api dipindahkan kepada pengguna.
“Baki kos akan ditanggung melalui subsidi kerajaan, peningkatan kecekapan operasi serta pengurusan kos dalaman oleh pengendali,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Kerajaan turut memperkenalkan struktur kadar surcaj berperingkat berdasarkan julat harga minyak global.
Ia bermula daripada kosong (0) peratus bagi harga sehingga RM4.00 seliter, dan meningkat secara berperingkat sehingga maksimum 18 peratus apabila harga melebihi RM8.00 seliter.
Langkah itu bertujuan memastikan pelaksanaan telus serta responsif terhadap turun naik harga minyak, di samping mengawal impak terhadap pengguna dan inflasi.
“Kadar surcaj akan disemak setiap bulan bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan semasa, termasuk kedudukan subsidi kerajaan dan impak sebenar kepada pengguna.
“Kerajaan memberi jaminan bahawa surcaj ini bukan bertujuan meningkatkan keuntungan pengendali, sebaliknya sebagai langkah sementara bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan feri tanpa gangguan,” tambah kenyataan itu.