
KUALA LUMPUR, 17 April – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyambut baik langkah proaktif Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta, sebagai usaha memperkukuh sektor agromakanan dalam menghadapi tekanan akibat krisis tenaga global.
- Peruntukan RM25 juta kepada sektor pertanian manfaatkan lebih 17,000 pesawah, nelayan, petani, penternak dan pengusaha akuakultur.
- Peningkatan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) hingga RM300 sehektar dan BUDI Agri-Komoditi sehingga RM400 sebulan.
- Pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi sektor agromakanan untuk meringankan kos operasi dan pengeluaran.
- Kerjasama strategik Persekutuan dan Negeri memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, melindungi kebajikan pemain industri dan keterjaminan makanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam membantu golongan sasar.
“Khususnya apabila RM25 juta diperuntukkan bagi sektor pertanian yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 17,000 pesawah, nelayan, petani, penternak dan pengusaha akuakultur di negeri itu.
“Langkah Selangor itu selari dengan usaha berterusan Kerajaan Persekutuan melalui KPKM dalam meringankan beban pemain industri agromakanan di seluruh negara.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk peningkatan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) sehingga RM300 sehektar, bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi sehingga RM400 sebulan, serta pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi sektor berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri merupaka usaha penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara cekap dan menyeluruh dalam mendepani krisis tenaga global.
Pendekatan sinergi yang diwujudkan bukan sahaja membantu mengurangkan tekanan kos pengeluaran, malah mampu memperkukuh daya tahan rantaian bekalan makanan negara dari peringkat pengeluaran hingga ke pengguna.
“KPKM mengalu-alukan lebih banyak kerajaan negeri untuk tampil dengan langkah proaktif bagi menyokong sektor agromakanan, sekali gus memastikan golongan pesawah, nelayan, petani, penternak dan pengusaha akuakultur terus berdaya tahan.
“KPKM yakin kerjasama strategik antara Persekutuan dan Negeri akan memberi impak signifikan dalam melindungi kebajikan pemain industri serta menjamin keterjaminan bekalan makanan negara dalam tempoh krisis semasa,” tambah kenyataan itu.