
KLANG, 17 April – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang dipercayai menjadi mangsa dera, awal bulan ini.
- Tertuduh Mohd Syahril Nazrul Ruslim, 37, hanya mengangguk faham; tiada pengakuan direkod kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
- Didakwa membunuh Muhammad Arsya di unit pangsapuri Vista Indah antara pukul 3.30 hingga 4.53 petang pada 6 April lalu.
- Kes dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntuk hukuman mati atau penjara 30-40 tahun dan minimum 12 sebatan.
- Bedah siasat: kecederaan hentakan objek tumpul pada kepala, pendarahan bawah selaput otak, serta tujuh lebam dan luka pada badan.
Tertuduh, Mohd Syahril Nazrul Ruslim, 37 tahun, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Karthiyayini Ambualagan. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes ini bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh Muhammad Arsya di sebuah unit pangsapuri di Vista Indah, Klang, kira-kira pukul 3.30 hingga 4.53 petang pada 6 April lalu.
Kes dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Berdasarkan fakta kes, mangsa pada awalnya dibawa ke Zon Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pasukan perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia sejurus selepas usaha resusitasi dijalankan.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan akibat hentakan objek tumpul pada kepala, pendarahan di bawah selaput otak dan kulit kepala serta tujuh kesan lebam dan luka pada bahagian pipi, tapak tangan, lengan, dan tapak kaki mangsa.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan forensik dan dokumen berkaitan.