
JASIN, 17 April – Kerajaan bersedia menempatkan pelajar Malaysia yang terjejas pengajian akibat konflik di Asia Barat ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara sekiranya keadaan memerlukan.
- Perbincangan pemindahan kredit mengikut garis panduan Agensi Kelayakan Malaysia supaya pelajar tidak perlu mengulang sepenuhnya.
- Kursus dipadankan mengikut keputusan, kursus dan latar belakang pendidikan pelajar untuk meneruskan pengajian tanpa gangguan besar.
- Langkah serupa pernah dilaksanakan sebelum ini, termasuk semasa konflik Iran Iraq dan melibatkan pelajar Malaysia di Kuwait.
- Setakat ini tiada angka rasmi pelajar terjejas; institusi masih beroperasi dan kementerian terus memantau serta bersedia bertindak.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu merupakan antara persediaan kementerian bagi memastikan pengajian pelajar tidak terjejas, termasuk yang baru mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke negara terbabit.
“Sekiranya terjejas, maka ruang akan diberikan kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di IPT dalam Malaysia, yang bersesuaian dengan keputusan, kursus dan latar belakang pendidikan mereka kerana persefahaman di peringkat universiti itu ada.
“Biasanya kita akan bincangkan kursus yang boleh dipindahkan kredit berdasarkan garis panduan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) supaya pelajar dapat meneruskan pengajian tanpa perlu mengulang sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Townhall Kembara Karisma Pemimpin Muda MADANI Zon Selatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Jasin di sini, hari ini.
Beliau berkata, langkah tersebut bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dilaksanakan sebelum ini termasuk ketika konflik Iran–Iraq serta melibatkan pelajar Malaysia di Kuwait.
Setakat ini, katanya, belum ada angka rasmi pelajar yang terjejas memandangkan institusi pengajian di negara terbabit masih beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, kementerian akan terus memantau situasi dan bersedia mengambil tindakan lanjut berdasarkan perkembangan semasa.