Wira tanpa lensa: Armizan puji dedikasi penguat kuasa KPDN

FOTO FACEBOOK ARMIZAN MOHD ALI

PUTRAJAYA, 17 April – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali merakamkan penghargaan kepada seluruh warga penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atas dedikasi dan komitmen mereka dalam melindungi kebajikan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peranan penguat kuasa KPDN penting memastikan kestabilan harga dan kelancaran bekalan subsidi kepada golongan sasar.
  • Anggota bertugas tanpa mengira masa; memeriksa, memantau dan mengambil tindakan bagi melindungi hak serta kebajikan rakyat.
  • Penghargaan atas keteguhan, keberanian dan integriti anggota; kementerian komited mendepani cabaran demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, peranan penguat kuasa KPDN amat penting dalam memastikan kestabilan harga barangan keperluan serta kelancaran bekalan subsidi kepada golongan sasar.

“Tidak semua wira berada di hadapan lensa, namun jasa mereka dirasai setiap hari. Di saat rakyat menikmati harga barangan keperluan yang stabil dan terkawal, bekalan yang terjamin dan barangan subsidi yang tidak tiris dan sampai kepada golongan sasar, di situlah peranan besar barisan penguat kuasa KPDN,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, anggota penguat kuasa sentiasa komited menjalankan tugas di lapangan tanpa mengira masa, termasuk memeriksa, memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.

“Tanpa mengenal penat dan waktu, mereka berada di lapangan, memeriksa, memantau dan mengambil tindakan demi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan dan hak rakyat sentiasa dilindungi,” katanya.

Armizan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota penguat kuasa atas keteguhan, keberanian dan integriti dalam memikul amanah yang diberikan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga penguat kuasa KPDN atas keteguhan, keberanian dan integriti dalam memikul amanah ini. Teruskan berkhidmat dengan penuh dedikasi dan profesionalisme,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54, sambil menegaskan komitmen berterusan kementerian untuk mendepani cabaran dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.