
KANGAR, 3 Oktober – Sepak raga tuju merupakan permainan sukan rakyat yang popular di utara Semenanjung buat julung kalinya dianjurkan secara besar-besaran di Perlis telah berjaya menghimpunkan lebih 200 peserta dari Perlis, Kedah, Langkawi dan Pulau Pinang bagi memeriahkan Kejohanan Sepak Raga Tuju Terbuka Perlis 2026.
- Mengangkat kembali sukan tradisi dan membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda.
- Kejohanan menawarkan hadiah wang tunai lebih RM3,000, pingat, barangan harian dan hamper, menarik penyertaan kira-kira 50 pasukan.
- Program anjuran Pertubuhan Kasih Bakti Perlis dengan kerjasama masjid, jabatan agama dan kelab tempatan, serta sumbangan kepada 5 asnaf.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Kasih Bakti Perlis, Zaimi Mat Ros, kejohanan itu melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya generasi muda untuk mengangkat kembali sukan tradisi selain membudayakan gaya hidup aktif dan sihat.
“Ia juga dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda serta membentuk semangat kerjasama dan semangat berpasukan mengharungi pertandingan dan bersaing secara sihat antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui media pada Kejohanan Sepak Raga Tuju Terbuka Perlis 2026 di Dataran Masjid Nurul Hikmah, Wang Bintong.
Kejohanan tersebut menawarkan hadiah wang tunai lebih RM3,000, selain pelbagai hadiah iringan termasuk pingat, barangan keperluan harian dan hamper menarik persaingan 50 pasukan.
Program dianjurkan Pertubuhan Kasih Bakti Perlis dengan kerjasama Pengurusan Masjid Nurul Hikmah Wang Bintong, yang turut mendapat sokongan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis dan Kelab Sepak Raga Tuju Perlis.
Bersempena kejohanan itu, Pertubuhan Kasih Bakti Perlis turut menyampaikan sumbangan prihatin kepada 5 orang asnaf berupa wang tunai dan barangan keperluan harian