Malaysia sertai sidang khas isu Selat Hormuz malam ini

Foto BERNAMA

CYBERJAYA, 17 April – Malaysia akan menyertai sidang khas berkaitan situasi semasa Selat Hormuz yang dianjurkan bersama Perancis dan United Kingdom (UK) malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar menerima jemputan Presiden Macron untuk menghadiri perbincangan mengenai Selat Hormuz.
  • Malaysia akan diwakili oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam perbincangan itu.
  • Anwar tekankan pendirian Malaysia: bebas, lebih adil, dan mengakui hak serta kegelisahan Iran terhadap tindakan Israel dan AS.
  • IMO lapor hampir 20,000 pelaut dan kira-kira 2,000 kapal terkandas; sedang sediakan pelan kecemasan dengan penyelarasan negara diperlukan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menerima jemputan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk menyertai sidang khas tersebut.

Malaysia akan diwakili Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Presiden Macron sampaikan mesej kepada saya minta untuk sertai satu sidang khas yang beliau anjurkan bersama dengan Perdana Menteri UK, Keir Starmer, untuk sama-sama berbincang soal Teluk Hormuz. Saya akan wakilkan kepada Menteri Luar Mohamad Hasan. Namun, pendirian kita ialah harus ada kebebasan.

“Kita juga tak boleh menafikan hak Iran dan kegelisahan kerana tindakan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran dahulu. Jadi kita mengambil sikap yang lebih adil dan bebas,” katanya selepas solat Jumaat di Surau Balai Bomba Cyberjaya di sini hari ini.

Foto REUTERS

Sebelum ini, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) memaklumkan bahawa hampir 20,000 pelaut dan kira-kira 2,000 kapal terkandas di Selat Hormuz.

IMO sedang menyiapkan pelan kecemasan bagi memindahkan pelaut dan kapal terbabit meskipun ia tidak boleh dilaksanakan secara serentak kerana memerlukan penyelarasan rapi antara negara.