Bidaan nomber pendaftaran “P_P” dibuka 20 April

JPJ tawar NPI eksklusif “P___P” sempena ulang tahun ke-80 / Foto FB JPJ

GEORGE TOWN, 17 April– Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan hampir 50,000 nombor pendaftaran dengan diskaun 50 peratus, bersempena dengan sambutan Karnival Mega JPJ MADANI 2026 di Stadium Batu Kawan pada 24 hingga 26 April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bidaan NPI bertanda indeks "P_P" dibuka mulai 20 April hingga 24 April melalui JPJeBid.
  • Tempoh bidaan lima hari dan keputusan diumumkan pada 25 April.
  • Nombor pendaftaran berjaya mesti didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat rasmi.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tawaran istimewa yang jarang dilakukan itu membolehkan orang ramai memiliki nombor kategori menarik pada harga serendah RM250 secara pembelian terus.

“Minggu hadapan, JPJ menawarkan 50,000 nombor yang akan ditawarkan dan hanya boleh dibeli di karnival berkenaan pada Ahad, 26 April.

Berdasarkan kepada kategori-kategori nombor tersebut. Jadi ada nombor-nombor yang ditawarkan, seperti nombor kategori menarik, hanya ditawarkan dengan harga RM250 sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, JPJ akan membuka bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks “P_P” sempena sambutan ulang tahun ke-80 jabatan itu.

Aedy berkata bidaan akan dibuka selama lima hari bermula Isnin, 20 April hingga 10 malam, 24 April melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) dan keputusan akan diumumkan pada 25 April.

“Pemilihan tanda indeks “P_P” mencerminkan peranan JPJ dalam aspek pengangkutan dan penguatkuasaan, selain sinonim dengan Pulau Pinang,” katanya selepas meluncurkan NPI sempena ulang tahun ke-80 JPJ di sini hari ini.

Nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan.