fb fb fb fb fb

Negara 'hilang' 2 bilion liter diesel bersubsidi, RM3.5 bilion tahun lalu- Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 24 Jun- Negara kehilangan dua bilion liter diesel bersubsidi yang bernilai kira kira RM3.5 bilion pada tahun lalu, akibat tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang menyeleweng bahan bakar itu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata, tindakan tidak bermoral itu menyebabkan negara kerugian peruntukan besar, yang boleh digunakan untuk sektor-sektor lain.

Selain itu, syarikat-syarikat sektor pembinaan diingatkan untuk tidak menaikkan harga barang, susulan kenaikan harga diesel negara baru-baru ini, kerana sektor tersebut tidak layak menerima subsidi berkenaan.

"Saya difahamkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bahawa sejumlah syarikat telah dipanggil ke KPDN hari ini untuk memberi penjelasan, kenapa mereka mengeluarkan kenyataan ingin menaikkan harga barang atau perkhidmatan yang mana mereka dalam sektor yang sebelum ini tidak pernah menerima subsidi diesel, ini satu kesalahan", katanya.

KPDN juga akan meningkatkan penguatkuasaan dan operasi bagi memastikan peniaga dan penyedia perkhidmatan tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Beliau berkata demikian semasa Program Sembang Santai Bersama Komunti Madani Parlimen Pulai, di Johor Bahru.

ROSLINA BINTI DIN