MOF peruntuk RM6.2 juta bagi pembelian & operasi awal Ambulans Laut Langkawi

Foto BERNAMA

LANGKAWI, 28 Jun – Kementerian Kewangan memperuntukkan sejumlah RM6.2 juta bagi pembelian dan operasi awal Ambulans Laut Langkawi yang dijangka beroperasi awal tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ambulans laut untuk Hospital Sultanah Maliha memacu pemindahan pesakit kritikal lebih pantas dan selamat ke Hospital Sultanah Bahiyah.
  • Projek melalui proses tender tahun ini; pembinaan diuruskan LADA dan dijangka operasi sepenuhnya pada 2027.
  • Penambahan peralatan moden mempercepat pendigitalan, tingkatkan kecekapan rawatan, keselamatan hospital serta sokongan kesiapsiagaan bencana dan operasi mencari menyelamat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, RM5.5 juta bagi pembelian Ambulans Laut Langkawi termasuk kos operasi awal, manakala RM700,000 lagi disalurkan untuk pembelian 132 unit peralatan kesihatan, teknologi maklumat, keselamatan serta aset sokongan hospital.

“Kita juga mengambil kira aspek penyampaian perkhidmatan, termasuk kemungkinan feri tidak mempunyai kelengkapan dan peralatan yang mencukupi.

“Justeru, kita menyediakan sebuah ambulans laut untuk Hospital Sultanah Maliha, yang merupakan antara beberapa hospital di negara ini yang menawarkan perkhidmatan ambulans laut.

“Insya-Allah, pembinaan kemudahan itu akan diuruskan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan dijangka dapat diserahkan pada tahun hadapan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sultanah Maliha, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus.

Dengan penambahan pelbagai peralatan moden di Hospital Sultanah Maliha, ia dijangka meningkatkan kecekapan rawatan, mempercepat pendigitalan perkhidmatan kesihatan dan memperkukuh aspek keselamatan hospital.

Aambulans laut bakal menjadi pemangkin kepada sistem pemindahan pesakit yang lebih pantas dan selamat, khususnya bagi pesakit kritikal yang memerlukan rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Projek Ambulans Laut Langkawi dijangka melalui proses tender tahun ini, sebelum diserahkan kepada Hospital Sultanah Maliha untuk operasi sepenuhnya pada 2027.

Selain meningkatkan akses rawatan kepada penduduk pulau dan pelancong, aset berkenaan turut memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, operasi mencari dan menyelamatserta sokongan perubatan bagi acara pelancongan bertaraf antarabangsa di Langkawi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.