
MELAKA, 11 Jun – Melaka International Intellectual Exposition (MIIEx) 2026 yang bakal berlangsung pada 24 dan 25 Jun di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah menerima lebih 900 penyertaan kumpulan inovasi setakat ini, termasuk penyertaan dari luar negara.
- Tema "Inclusive Digital Futures" menekankan pembangunan inovasi digital inklusif, mampan dan berimpak langsung kepada masyarakat.
- Program menghimpunkan idea dan inovasi daripada pelajar, penjawat awam, industri serta peserta antarabangsa.
- Setakat ini 922 penyertaan diterima, dengan kira-kira 10 hingga 15 peratus melibatkan peserta antarabangsa.
- MIIEx menawarkan lima kategori pertandingan, 17 anugerah, serta peluang mempamerkan dan mengkomersialkan produk penyelesaian masyarakat.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, dengan tema “Inclusive Digital Futures”, program ini memberi fokus kepada pembangunan inovasi digital yang inklusif, mampan serta memberi impak langsung kepada masyarakat.
“Program ini menghimpunkan idea dan inovasi baharu daripada pelbagai peringkat termasuk pelajar, penjawat awam, industri serta peserta antarabangsa.
Tahun ini kita memperluaskan skop supaya lebih ramai pihak merasai manfaat inovasi yang dibangunkan,” katanya ketika bersiaran dalam slot Diari YB di MelakaFM di Jalan Taming Sari, hari ini.
Setakat ini, sebanyak 922 penyertaan telah diterima dan kira-kira 10 hingga 15 peratus daripadanya melibatkan peserta antarabangsa
MIIEX 2026 menawarkan lima kategori pertandingan dengan 17 anugerah disediakan untuk para peserta.
Program yang mula diperkenalkan pada 2009 itu memberi peluang kepada peserta untuk mempamerkan idea dan inovasi yang dibangunkan serta berkongsi penyelesaian kepada pelbagai isu masyarakat menerusi teknologi dan pendekatan baharu.
Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Melaka, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Rasdi Zaini berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan masyarakat dalam program berkenaan kerana setiap produk dan teknologi yang dipertandingkan berpotensi menyelesaikan isu-isu rakyat.
“Harapan kami agar masyarakat turut sama hadir, melihat dan berkongsi pandangan terhadap produk inovasi yang dipertandingkan. Kami percaya banyak hasil ciptaan ini berpotensi untuk diketengahkan dan dikomersialkan,” katanya.