Kebajikan mangsa rogol Batu Pahat akan terus diberi perhatian

FOTO BERNAMA


KUALA LUMPUR, 11 Jun –
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memastikan kebajikan serta kesejahteraan mangsa dalam kes rogol membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun di Batu Pahat terus diberikan perhatian sewajarnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes jenayah telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
  • Agensi pelindung kementerian menjalankan tanggungjawab untuk mendapatkan laporan dan melindungi kepentingan mangsa.
  • Pasukan kaunseling menawarkan sokongan psikososial, menghormati privasi keluarga; perlindungan kanak-kanak kekal keutamaan kementerian.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, kes berkenaan merupakan kes jenayah dan telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Walaubagaimanapun, beliau berkata, agensi perlindungan di bawah kementerian tetap memainkan peranan dalam mendapatkan laporan kes serta menjalankan tanggungjawab yang diperlukan bagi memastikan kepentingan mangsa terus terpelihara.

“Pasukan kaunseling kementerian juga akan menghubungi keluarga mangsa untuk menawarkan bantuan dan sokongan psikososial sekiranya diperlukan,

“Pendekatan yang diambil adalah bagi membantu mangsa dan keluarga berdepan trauma susulan kejadian tersebut, namun keputusan untuk menerima bantuan berkenaan bergantung kepada keluarga.

“Kita perlu menyantuni mereka, tetapi pada masa sama menghormati privasi keluarga,” katanya selepas Majlis Pejabat Tribunal Bagi Antigangguan Seksual dan pelancaran Sistem Pengurusan Aduan Secara Elektronik (e-TAGS) di Menara Aras Raya di sini.

Beliau berkata, dalam kes yang melibatkan kanak-kanak, pihak pelindung di bawah kementerian mempunyai tanggungjawab untuk membuat laporan dan melaksanakan tindakan yang diperlukan kerana perkara itu turut melibatkan proses perundangan dan rujukan mahkamah.

Beliau menegaskan bahawa perlindungan kanak-kanak akan terus menjadi keutamaan kementerian, khususnya dalam kes yang melibatkan jenayah seksual.

Sehubungan itu, KPWKM akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa serta menyediakan bantuan yang diperlukan bagi memastikan kebajikan dan kepentingan terbaik mangsa sentiasa terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.