fb fb fb fb fb

Mentakab dilanda banjir, paras air meningkat

Beberapa kawasan di sekitar Mentakab mula dilanda banjir sejak Ahad, menyebabkan beberapa buah kampung dan taman perumahan dinaiki air / Foto RTM

TEMERLOH, 15 Oktober – Beberapa kawasan di sekitar Mentakab mula dilanda banjir sejak Ahad, menyebabkan beberapa buah kampung dan taman perumahan dinaiki air.

Tinjauan RTM di Taman Mentakab Indah mendapati, paras air terus meningkat meskipun tiada hujan, mengakibatkan laluan dan kediaman penduduk ditenggelami air.

Peningkatan paras air Sungai Semantan yang berdekatan disebabkan hujan lebat beberapa hari lalu dipercayai menjadi punca banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Desa Bakti, Abdul Rahman Awang berkata penduduk telah diarahkan berpindah lebih awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atas faktor keselamatan.

“Tahun ini banjir berlaku lebih awal, biasanya dalam bulan 11 atau 12. Jadi, ada yang tidak sempat memindahkan barang-barang ke tempat selamat. Kita telah bersedia dengan dua buah bot untuk sebarang keperluan kecemasan,” katanya.

Antara kampung yang terjejas teruk ialah Kampung Batu 3 dan Kampung Kelubi.

Setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 1,201 penduduk di Mentakab berlindung di tiga PPS.

Sementara itu, jumlah penduduk terjejas akibat banjir di Temerloh terus meningkat kepada 1,287 orang daripada 360 keluarga berbanding 1,247 orang tengah malam tadi.

Menurut portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua penduduk yang terjejas kini ditempatkan di enam PPS.

PPS Dewan SMK Seri Semantan menempatkan jumlah penduduk terjejas paling ramai iaitu 623 orang daripada 184 keluarga, diikuti PPS SK Desa Bakti dengan 566 orang.

PPS lain termasuk SK Lanchang (36 orang), Balairaya Mempateh (30 orang), Masjid Kampung Bongsu (20 orang), dan SK Mentakab (Chatin) merekodkan 12 orang penduduk yang dipindahkan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN