KUALA LUMPUR, 21 Disember - Malaysian Press Institute (MPI) menyeru agar pelaporan berkaitan bencana alam, tragedi dan isu kemanusiaan dilaksanakan secara beretika, berfakta dan berperikemanusiaan dengan mengambil kira sensitiviti budaya, tata susila serta hubungan antara negara khususnya dalam konteks pelaporan rentas sempadan.
Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong dalam satu keyataan memaklumkan, media memikul tanggungjawab penting bukan sekadar menyampaikan maklumat kepada masyarakat tetapi turut membentuk kefahaman awam, memelihara maruah mangsa serta menjaga keharmonian hubungan dua hala dan serantau.
"Dalam situasi bencana dan krisis kemanusiaan, MPI menegaskan bahawa pelaporan kewartawanan tidak wajar didorong oleh emosi melampau, sensasi atau naratif yang boleh mencetuskan salah faham.
"Sebaliknya, ia perlu berteraskan kepercayaan, ketepatan fakta serta kefahaman menyeluruh terhadap realiti sebenar di lapangan," menurut kenyataan itu.
Merujuk kejadian bencana alam di Pulau Sumatera serta pendirian Indonesia yang memilih untuk tidak menerima bantuan luar negara, Datuk Yong Soo Heong mahu media perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membentuk naratif pelaporan agar tidak menimbulkan salah tafsir atau persepsi negatif.
Pelaporan tepat, seimbang dan berhemah amat penting bukan sahaja untuk memastikan masyarakat memperoleh maklumat sebenar, malah bagi mengekalkan hubungan baik dan persefahaman antara dua negara jiran yang berkongsi sejarah, budaya serta kepentingan strategik serantau.
"Media Malaysia yang membuat liputan berkaitan bencana tersebut perlu mengekalkan standard etika yang tinggi, bersikap prihatin terhadap musibah yang berlaku di Acheh dan beberapa wilayah di Sumatera Utara serta menghormati segala dasar dan keputusan yang ditetapkan oleh kerajaan Indonesia," tambah kenyataan itu.
MPI menasihatkan pengamal media tempatan agar mengamalkan pelaporan yang menghormati hubungan dua negara serta berprinsip setiakawan dengan menzahirkan empati, kepekaan dan rasa tanggungjawab bersama dalam menyampaikan maklumat berkaitan bencana dan kemanusiaan.
Melalui latihan profesional yang dilaksanakan, institusi itu sentiasa mengganskan kepentingan kefahaman konteks lapangan, implikasi diplomatik serta tanggungjawab sosial media dalam setiap pelaporan berkaitan krisis dan tragedi.
"Wartawan yang beretika dan berintegriti perlu mengutamakan nilai kemanusiaan, empati serta tanggungjawab sosial dalam setiap laporan. Media harus menjadi saluran yang menyatukan, membina persefahaman dan memperkukuh kepercayaan, khususnya ketika masyarakat berdepan saat sukar," menurut kenyataan itu.