
ISKANDAR PUTERI, 22 Ogos- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sebanyak 99,693 hantaran berunsur penipuan setakat 15 Julai lepas, jumlah yang menghampiri keseluruhan 98,503 hantaran diturunkan sepanjang tahun lalu.
- MCMC menghantar 106,268 permohonan menurunkan hantaran, menunjukkan peningkatan berbanding 102,113 permohonan tahun sebelumnya.
- Walaupun MCMC memohon, platform media sosial mempunyai kuasa mutlak untuk menurunkan atau mengekalkan kandungan.
- Kadar pematuhan platform terhadap permohonan penurunan berkaitan penipuan biasanya melebihi 90 peratus.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata dalam tempoh sama, sebanyak 106,268 permohonan menurunkan hantaran telah dikemukakan kepada penyedia platform media sosial.
Beliau berkata jumlah permohonan itu juga menunjukkan peningkatan berbanding 102,113 permohonan yang dikemukakan sepanjang tahun lalu.
“Memang ada sedikit perbezaan kerana walaupun permohonan itu dihantar oleh MCMC, platform masih mempunyai kuasa mutlak untuk menurunkan atau sebaliknya kandungan berkenaan.
“Namun, untuk kes scam kadar pematuhan (platform) biasanya melebihi 90 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program MADANI Kita (PMK) 2026 Negeri Johor di Dewan Raya Taman Desa Skudai di sini hari ini.