
SAUDARA PENGARANG
- Pendidikan pengguna mesti lebih dari kemahiran aplikasi; tumpu kepada keupayaan membuat keputusan menggunakan tiga persoalan: keperluan, kemampuan dan kawalan.
- Amaran terhadap kredit digital dan cadangan AI yang membentuk pilihan; pengguna perlu semak kos, niat cadangan dan kesan pada kewangan peribadi.
- Industri dan kerajaan wajib sediakan harga jelas, persetujuan data difahami, akses mesra warga emas dan alternatif bantuan untuk penyertaan bermakna.
Pada 2025, Malaysia merekodkan 18.4 bilion transaksi pembayaran elektronik, bersamaan purata 538 transaksi per kapita setahun.
Namun, dalam Tinjauan Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2024, hanya 39 peratus rakyat Malaysia memberi perhatian kepada keselamatan laman sesawang sebelum melakukan transaksi dalam talian.
Dua angka ini mengemukakan persoalan penting tentang pengguna masa hadapan. Kita semakin cekap menggunakan teknologi untuk membeli dan membayar, tetapi sejauh mana kita benar-benar memahami keputusan, risiko dan hak yang mengiringi kemudahan tersebut?
Saya melihat pengguna masa hadapan sebagai pengguna yang perlu mempertahankan keupayaan memilih dalam pasaran yang semakin mengenali dirinya.
Telefon pintar membolehkan kita membandingkan harga, membuat pembayaran dan mendapatkan perkhidmatan tanpa bergerak jauh. Teknologi turut membantu peniaga kecil menjangkau pelanggan serta memudahkan urusan pengguna yang mempunyai keterbatasan pergerakan.
Perubahan ini jelas dalam Laporan Tahunan 2025 Bank Negara Malaysia (BNM). Transaksi pembayaran elektronik meningkat 25 peratus berbanding 14.7 bilion pada 2024.
Jumlah transaksi DuitNow QR pula berganda daripada 1.5 bilion kepada tiga bilion, dengan hampir tiga juta titik penerimaan berdaftar pada akhir 2025.
Angka ini memberikan gambaran yang meyakinkan tentang perkembangan pembayaran digital. Namun, kemudahan melakukan transaksi tidak semestinya bermaksud bahawa pengguna mempunyai keupayaan untuk membuat pertimbangan yang baik.
Seorang pengguna mungkin tahu cara menggunakan dompet elektronik, mengimbas kod QR, dan membuat pembelian melalui aplikasi. Dia juga mungkin mempunyai beberapa kemudahan ansuran yang semuanya boleh diakses melalui telefon.
Namun, apabila tawaran muncul berulang kali, promosi mempunyai kiraan masa dan bayaran dipecahkan kepada jumlah kecil, keputusan membeli boleh dibuat sebelum kemampuan sebenar dinilai.
Di sinilah pentingnya kita memahami perbezaan antara kebolehan menggunakan teknologi dan keupayaan mengawal keputusan.
Tinjauan BNM pada 2024 mendapati 92 peratus rakyat Malaysia menggunakan produk dan perkhidmatan kewangan digital, meningkat daripada 74 peratus pada 2021. Penggunaan yang meluas ini perlu disertai pendidikan tentang keselamatan, kos dan kesan keputusan kewangan.
Dalam pasaran yang menggunakan kecerdasan buatan (AI), cabarannya turut melibatkan cara pilihan dibentuk.
Cadangan produk mungkin kelihatan sesuai kerana sistem mengenali carian, minat dan tabiat membeli kita. Pengguna perlu bertanya sama ada cadangan itu membantu memenuhi keperluannya atau mendorongnya untuk membeli sesuatu yang sebenarnya tidak diperlukan.
Apabila sistem semakin mengenali pengguna, pengguna juga perlu mengenali bagaimana sistem memengaruhinya.
Ini tidak bermaksud bahawa kita perlu menolak teknologi. AI boleh membantu membandingkan produk dan memudahkan pencarian maklumat. Namun, pengguna masih perlu menyemak ketepatan maklumat, jumlah kos serta kepentingan komersial di sebalik cadangan tersebut.
Kemudahan kredit digital turut menunjukkan satu lagi cabaran. Menurut kenyataan Timbalan Menteri Kewangan yang dilaporkan Bernama pada 27 Januari 2026, Malaysia merekodkan 243 juta transaksi Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) bernilai RM21.3 bilion sepanjang 2025.
Pada 2024, jumlahnya ialah 146 juta transaksi bernilai RM12 bilion.
Kementerian Kewangan melaporkan pengguna BNPL meningkat daripada 2.6 juta pada 2023 kepada 7.5 juta pada akhir 2025. Setakat 31 Disember 2025, baki pinjaman BNPL berjumlah RM4.9 bilion, dengan RM160.2 juta atau 3.3 peratus tertunggak.
Kementerian menyatakan risiko keseluruhannya masih terkawal, dengan pinjaman BNPL merangkumi sekitar 0.3 peratus daripada jumlah hutang isi rumah. Namun, keadaan pada peringkat agregat perlu dibezakan daripada kemampuan seseorang memenuhi komitmen bulanannya.
Ansuran mungkin kecil, tetapi pendapatan yang sama perlu membayar sewa, makanan, pengangkutan, bil dan beberapa pembelian terdahulu.
Justeru, persoalan pengguna ialah berapa banyak wang yang masih tinggal selepas semua komitmen dibayar, termasuk untuk menghadapi kecemasan.
Kita juga perlu berhati-hati agar tekanan kewangan tidak semata-mata dikaitkan dengan kelemahan disiplin pengguna. Pendapatan yang terhad, kos keperluan asas dan gangguan pendapatan boleh mengecilkan ruang seseorang membuat pilihan.
Atas sebab itu, pendidikan pengguna perlu bergerak lebih jauh daripada kemahiran menggunakan aplikasi kepada keupayaan membuat keputusan secara sedar.
Salah satu pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah membina keupayaan pengguna melalui tiga persoalan sebelum membeli.
Persoalan pertama ialah Keperluan — adakah pembelian ini memenuhi keperluan sebenar atau sekadar tindak balas terhadap promosi dan cadangan yang muncul di skrin?
Persoalan kedua ialah Kemampuan — berapakah jumlah kos sebenar, termasuk caj dan komitmen akan datang, serta kesannya terhadap perbelanjaan asas dan simpanan?
Persoalan ketiga ialah Kawalan — adakah pengguna memahami penggunaan datanya, boleh menghentikan langganan dan mengetahui saluran mendapatkan bantuan apabila berlaku masalah?
Ketiga-tiga persoalan ini boleh diterapkan dalam pendidikan pengguna di sekolah, universiti, tempat kerja dan komuniti. Latihan perlu menggunakan situasi sebenar supaya pengetahuan diterjemahkan kepada keputusan harian.
Tanggungjawab industri juga perlu diberikan perhatian. Harga dan caj mesti diterangkan dengan jelas. Proses berhenti melanggan perlu mudah.
Persetujuan penggunaan data perlu disokong penerangan yang boleh difahami, supaya menekan butang “setuju” menjadi keputusan yang bermakna.
Maklumat tentang ketahanan barangan, tempoh penggunaan dan pilihan pembaikan juga penting. Harga murah ketika membeli belum tentu menghasilkan kos rendah sepanjang penggunaan.
Perlindungan pengguna perlu mengambil kira warga emas, orang kurang upaya, dan mereka yang kurang mahir dalam teknologi.
Seorang warga emas mungkin memiliki telefon pintar, tetapi memerlukan bantuan untuk membuat pembayaran. Pengguna kurang upaya penglihatan memerlukan aplikasi yang berfungsi dengan pembaca skrin. Masyarakat dengan capaian internet yang terhad pula memerlukan saluran yang sesuai dengan keadaan mereka.
Pemilikan peranti sahaja tidak menjamin akses yang bermakna. Bantuan manusia, reka bentuk yang mudah diakses, dan saluran alternatif yang wajar disediakan agar perubahan digital dapat memperluas penyertaan masyarakat.
Pengguna perlu dapat menyelesaikan urusan dan mendapatkan bantuan dengan yakin.
Kerajaan, institusi pendidikan, industri dan persatuan pengguna boleh membangunkan ukuran yang lebih dekat dengan pengalaman masyarakat.
Selain kadar penggunaan teknologi, kita perlu menilai kefahaman tentang kos, keselamatan transaksi, kemudahan membuat aduan dan keberkesanan penyelesaian masalah.
Penilaian ini perlu membezakan pengalaman kumpulan pengguna. Perkhidmatan yang mudah bagi pengguna muda belum tentu mudah bagi warga emas.
Begitu juga, tawaran kredit yang sesuai untuk pengguna berpendapatan tetap mungkin memerlukan pertimbangan yang berbeza bagi pekerja yang pendapatannya berubah dari bulan ke bulan.
Program pendidikan pengguna juga perlu dinilai melalui perubahan tingkah laku dan kemampuan peserta dalam mempertahankan haknya. Bilangan peserta dan peningkatan pengetahuan sahaja belum menggambarkan kesan terhadap kehidupan.
Transaksi yang semakin pantas ialah sebahagian daripada masa hadapan yang sedang kita bina. Namun, kebebasan membuat pilihan memberitahu kita sesuatu yang sama penting tentang kedudukan pengguna dalam pasaran tersebut.
Pengguna yang berdaya ialah pengguna yang boleh memanfaatkan teknologi, menilai tawaran dan membuat keputusan berdasarkan keperluan serta kemampuan sendiri. Apabila masalah berlaku, mereka juga mempunyai saluran pembelaan yang boleh digunakan.
Keupayaan mengekalkan kawalan terhadap pilihan sendiri wajar menjadi antara ukuran utama untuk menentukan sama ada kemajuan digital benar-benar meningkatkan kesejahteraan pengguna.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri
Dekan Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia
Profesor Perancangan Kewangan Peribadi
Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia
E-mel: fazli@upm.edu.my