
KUANTAN, 22 Ogos – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan solat hajat diadakan di semua masjid di seluruh negeri ini bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar keadaan jerebu yang melanda Sarawak ketika ini bertambah baik.
- Kesultanan Pahang menerusi Facebook menegaskan doa dan ikhtiar perlu berjalan seiring ketika menghadapi jerebu.
- Baginda menasihati masyarakat Sarawak mematuhi arahan pihak berkuasa, utamakan keselamatan dan kesihatan serta ambil langkah sewajarnya.
- Data APIMS menunjukkan penurunan IPU Serian kepada 190; banyak kawasan lain masih catat tahap tidak sihat.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di Facebook memaklumkan baginda bertitah doa dan ikhtiar perlu berjalan seiring dalam menghadapi keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.
“Baginda turut menasihati masyarakat di Sarawak supaya mematuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri, khususnya berkaitan keselamatan dan kesihatan sepanjang keadaan jerebu berkenaan serta mengambil langkah sewajarnya,” menurut hantaran itu.
Media melaporkan, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian, Sarawak mencatatkan penurunan kepada 190 setakat 9 pagi tadi, berbanding 227 petang semalam, menyaksikan kualiti udara di kawasan berkenaan beralih daripada tahap sangat tidak sihat kepada tidak sihat.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sepuluh kawasan lain turut mencatatkan tahap tidak sihat, iaitu Kuching (182), Samarahan (177), Sarikei dan Sri Aman (173), Sibu (161), Bintulu (157), Samalaju dan Mukah (156) serta Miri dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing 151. – BERNAMA