1,800 pesilat bakal berentap pada Piala SSJF 3.0

Kejuaraan Silat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa Piala SSJF 3.0 2026 berlangsung di Stadium Titiwangsa, 14 hingga 19 Oktober.

KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Lebih 1,800 pesilat dari dalam dan luar negara bakal berentap pada Kejuaraan Silat Kebangsaan dan Jemputan Antarabangsa Piala Sport School Junior Fighter (SSJF) 3.0 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini dari 14 hingga 19 Okt ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejohanan dianjurkan oleh Kelab Silat Olahraga Wira Titiwangsa melalui inisiatif SSJF.
  • Mempertandingkan dua cabang utama iaitu Jurus (Seni) dan Tanding (Olahraga).
  • Edisi ketiga menghimpunkan pesilat dari lebih 10 negeri serta pasukan antarabangsa termasuk Indonesia, Uzbekistan dan Kyrgyzstan.
  • Berperanan sebagai platform pembangunan bakat muda, menggabungkan sukan, pendidikan dan budaya, serta membuka peluang pengiktirafan PAJSK tertakluk kepada pihak berkuasa pendidikan.

Kejohanan anjuran Kelab Silat Olahraga Wira Titiwangsa (KSOWT) menerusi inisiatif SSJF itu mempertandingkan dua cabang utama, iaitu Jurus (Seni) dan Tanding (Olahraga).

KSOWT dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu menghimpunkan pesilat dari lebih 10 negeri, selain penyertaan pasukan antarabangsa termasuk dari Indonesia, Uzbekistan dan Kyrgyzstan.

Menurut kenyataan itu, Piala SSJF 3.0 bukan sekadar menjadi medan persaingan, malah berperanan sebagai platform pembangunan bakat muda dengan menggabungkan elemen sukan, pendidikan dan budaya.

“Kejohanan ini juga memberi pendedahan pertandingan kepada pesilat yang masih bersekolah, selain membuka peluang kepada mereka memperoleh pengiktirafan penyertaan yang boleh menyumbang kepada rekod Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada ketetapan serta pengiktirafan pihak berkuasa pendidikan,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.