Malaysia teroka sumber minyak baharu, perkukuh jaminan bekalan negara

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ketika ditemu bual pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Teknologi dan Inovasi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) / Foto BERNAMA

BAYAN LEPAS, 10 Jun – Malaysia sedang giat meneroka sumber bekalan minyak mentah baharu termasuk dari benua Afrika, Rusia dan Turkiye sebagai langkah memperkukuh keselamatan tenaga negara serta mengurangkan risiko akibat ketidaktentuan geopolitik global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian menyeluruh kesesuaian bekalan dengan keupayaan fasiliti pemprosesan sedia ada bagi memastikan pemanfaatan optimum.
  • Bekalan minyak negara kekal stabil dan dijamin mencukupi hingga penghujung Julai melalui pengurusan operasi cekap dan pemantauan berterusan.
  • Pengurusan bekalan secara berfasa mengelakkan pengikatan kontrak jangka panjang ketika harga minyak dunia masih tidak menentu.
  • Pemilihan sumber mempertimbangkan keserasian jenis minyak mentah dengan infrastruktur pemprosesan demi keberkesanan rantaian bekalan tenaga.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, usaha itu melibatkan penilaian menyeluruh terhadap kesesuaian bekalan dengan keupayaan fasiliti pemprosesan sedia ada bagi memastikan sumber yang diperoleh dapat dimanfaatkan secara optimum.

Menurut beliau, walaupun kerajaan sedang meneroka pasaran baharu, bekalan minyak negara ketika ini kekal stabil dan dijamin mencukupi sehingga penghujung Julai menerusi sistem pengurusan operasi yang cekap serta pemantauan berterusan terhadap tahap ketersediaan bekalan.

“Seperti yang telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, proses mengenal pasti sumber baharu sememangnya sedang dilaksanakan. Antara kawasan yang sedang dinilai termasuk beberapa negara di Afrika, Rusia dan Turkiye.

“Namun, setiap bekalan minyak mentah mempunyai karakter yang berbeza. Sebab itu Petronas perlu menilai kesesuaian fasiliti sedia ada untuk menerima dan memproses bekalan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Teknologi dan Inovasi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) (NTIC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jaminan bekalan minyak negara dan langkah kerajaan memperkukuh keselamatan tenaga pada masa hadapan.

Akmal berkata, jaminan bekalan sehingga Julai merupakan sebahagian daripada strategi pengurusan bekalan secara berfasa bagi mengelakkan negara terikat dengan kontrak jangka panjang ketika harga minyak dunia masih tidak menentu.

“Ketika ini harga minyak masih tidak stabil. Kita tidak mahu terikat dengan perjanjian jangka panjang yang boleh memberi kesan sekiranya berlaku perubahan ketara terhadap harga pasaran global.

“Insya-Allah, menjelang penghujung bulan ini kita akan memperoleh kemas kini baharu berhubung jaminan bekalan untuk tempoh seterusnya,” katanya.

Menurut beliau, pemilihan sumber baharu bukan hanya berdasarkan lokasi atau ketersediaan bekalan, sebaliknya turut mengambil kira keserasian jenis minyak mentah dengan infrastruktur pemprosesan negara bagi menjamin keberkesanan rantaian bekalan tenaga Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.