Malaysia-Pakistan sepakat ketegangan serantau perlu ditangani melalui dialog dan diplomasi

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Pakistan, Shehbaz Sharif, menegaskan bahawa sebarang ketegangan di peringkat serantau dan antarabangsa perlu ditangani secara berhati-hati menerusi dialog serta diplomasi bagi memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua pemimpin membincangkan perkembangan hubungan Iran dan Amerika Syarikat dan menekankan kepentingan libat urus berterusan untuk meredakan ketegangan.
  • Selat Hormuz mesti kekal terbuka dan selamat untuk memastikan kelancaran perdagangan antarabangsa.
  • Malaysia dan Pakistan bersetuju memperhebat kerjasama perdagangan serta meneroka eksport daging Pakistan ke pasaran Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata, perkara itu antara inti pati perbualan telefon beliau bersama Shehbaz yang turut bertanyakan perkembangan kesihatan beliau, selain membincangkan perkembangan semasa di rantau berkenaan serta hubungan dua hala Malaysia-Pakistan.

Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan hubungan Iran-Amerika Syarikat dan menekankan kepentingan libat urus berterusan bagi meredakan ketegangan.

“Selat Hormuz pula mesti kekal terbuka dan selamat bagi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Pakistan turut bersetuju untuk memperhebat kerjasama perdagangan dan ekonomi yang masih mempunyai potensi besar untuk diteroka.

Antara bidang yang dikenal pasti termasuk peluasan eksport daging Pakistan ke Malaysia.

“Segala komitmen yang dicapai harus diterjemahkan segera kepada hasil nyata yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Malaysia akan terus mendukung Pakistan sebagai negara sahabat dan rakan penting, insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Shehbaz atas doa serta kiriman bunga dan buah-buahan, selain memaklumkan beliau kini berada dalam proses pemulihan.

Sebelum ini, Perdana Menteri selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut atau para-umbilical hernia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.