fb fb fb fb fb

Malaysia bakal jadi tumpuan dunia - PM

Anwar Ibrahim /Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 13 Oktober- Malaysia bakal menjadi tumpuan dunia pada hujung tahun ini dan mulai tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan penganjuran pelbagai persidangan peringkat antarabangsa yang dianjurkan berupaya merancakkan lagi ekonomi negara.

"Saya minta kerjasama semua kerana ini adalah tumpuan kita. Apa yang kita mahu capai? Diplomasi, orang hormat negara kita, nama Malaysia yang harum, terutamanya dalam aspek ekonomi. Fokus utama kita adalah perdagangan, pelaburan, serta peluang perniagaan untuk rakyat dan syarikat Malaysia.

"Sebab itulah saya tekankan perkara ini kerana kejayaan ini bukan hanya hasil usaha kerajaan, tetapi juga melibatkan sektor awam dan swasta," Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-78, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustri Cina Malaysia (ACCIM) di sini.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada beberapa mesyuarat utama ASEAN dengan beberapa negara luar bermula akhir tahun ini.

Ia termasuk seperti Amerika Syarikat (AS), China, Korea Selatan, Jepun, Eropah, India, Australia, dan New Zealand.

Pada Mei tahun depan, negara akan menganjurkan Persidangan ASEANGCC+China yang meliputi kesemua negara ASEAN.

Ia melibatkan enam negara Teluk termasuk Bahrain, Oman, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta China.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia membenarkan mana-mana kapal asing untuk berlabuh di pelabuhan negara kecuali Israel.

Dasar baik itu menjadi amalan dengan semua negara dan tidak sepatutnya diperbesar oleh sesetengah pihak.

"Kita ada operasi ketenteraan bersama dalam kawasan kita dengan AS, China, Singapura, Indonesia, dan India. Apa masalahnya? Bagi saya, tiada masalah kerana perkara ini telah lama berlaku. Kalau semasa kerajaan dahulu, yang bersama PAS dan BERSATU, kapal terbang Israel pun boleh lalu dan masuk pelabuhan tanpa isu, jadi kenapa sekarang ia menjadi isu?," kata Anwar.

Sementara itu, Anwar berkata pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh dilaksana semula sekiranya nilai ambang pendapatan negara berjaya ditingkatkan.

Anwar berkata, sedikit masa diperlukan bagi pelaksanaan cukai berkenaan.

Ini mengambil kira golongan miskin yang tidak seharunya dibebani dengan sistem cukai berkenaan.

"Berikan sedikit masa, majukan ekonomi ke hadapan. Sebab kalau anda laksanakan GST sekarang, semua orang perlu membayar. Maksud saya, ini penting, ia adalah falsafah politik saya, hati nurani saya. Adakah ia efisien? Ya. Adakah ia telus? Ya. Adakah kerajaan akan dapat lebih hasil? Ya. Tetapi siapa yang akan dicukai? Semua orang, orang kaya? Ya, orang miskin? Ya, saya tak boleh terima itu. Jadi, apa pandangan saya? Beri masa. Berikan beberapa tahun, pastikan pendapatan ambang meningkat kepada RM3,000 hingga RM4,000 minimum, barulah kita boleh secara beransur-ansur sesuaikan polisi ini," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM