
BATU KAWAN, 7 Januari– Seramai 200 anak anggota bomba dan pelajar dari lima sekolah sekitar Batu Kawan, Pulau Pinang menerima manfaat Program Back to School, menjelang sesi persekolahan baharu.
- 200 anak anggota bomba dan pelajar dari lima sekolah sekitar Batu Kawan menerima bantuan persekolahan melalui program Back to School.
- Jumlah sumbangan keseluruhan RM20,000, termasuk RM10,000 untuk pakaian sekolah kepada 100 anak anggota bomba.
- Program anjuran JBPM Pulau Pinang diperluas melibatkan komuniti setempat dan disokong rakan strategik serta ketua menteri merasmikan majlis.
Program anjuran JBPM Pulau Pinang, melibatkan sumbangan keseluruhan RM20,000 menjelang sesi persekolahan baharu.
Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata insiatif itu pertama kali diperluaskan kepada penglibatan komuniti masyarakat setempat serta diharapkan mampu meringankan beban keluarga bagi membeli keperluan barangan sekolah.
“Sebagai penghargaan kepada sumbangan anggota di peringkat bawahan, kami mengambil inisiatif untuk meringankan beban perbelanjaan mereka. Antaranya ialah bantuan pakaian sekolah kepada anak-anak anggota melibatkan seramai 100 penerima dengan peruntukan sebanyak RM10,000.”
“Secara keseluruhan, jumlah sumbangan bagi program ini adalah RM20,000 kerana kita kini lebih memberi tumpuan kepada pelaksanaan program bersama komuniti,” kata Mohamad Shoki kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Sumbangan Back to School Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, di sini.
Majlis dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan turut dihadiri, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Pulau Pinang, Jason H’ng Mooi Lye.
Program turut mendapat kerjasama daripada rakan strategik pihak bomba.
Lima buah sekolah yang menerima inisiatif tersebut antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawan, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Kawan.