
ANKARA, 7 Januari – Negara membangun diseru untuk membina kerjasama dan pakatan ekonomi yang memberi manfaat.
- Malaysia menyokong pakatan baharu seperti BRICS untuk memperluas hubungan perdagangan negara membangun.
- Menekankan kepentingan perdagangan bebas dan adil selaras orde antarabangsa berasaskan peraturan.
- Seruan kepada kerjasama strategik bagi melindungi kepentingan ekonomi dan kedaulatan negara membangun.
- Malaysia mengikuti pendekatan serantau seperti Turkiye dan menyokong institusi multilateral berkesan termasuk OIC.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara berkenaan seharusnya menyokong menyokong pakatan baharu seperti BRICS dan rangkaian Dunia Ketiga seperti ASEAN atau malahan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang mendukung perdagangan bebas dan adil selaras dengan orde antarabangsa berasaskan peraturan.
Jelasnya, ketidaktentuan geopolitik global menuntut negara membangun membina kerjasama strategik baharu bagi melindungi kepentingan ekonomi dan kedaulatan masing-masing.
“Itulah sebabnya Malaysia mengambil pendekatan seperti Turkiye di peringkat serantau, termasuk dalam OIC, dengan menyokong deklarasi universal negara sebagai institusi multilateral yang berkesan. Pada masa yang sama, kita juga menyertai inisiatif baharu yang dapat meluaskan dan memperkukuh hubungan dalam jaringan perdagangan baharu, seperti melalui BRICS, dan mana-mana rangkaian negara membangun lain.
“Saya membuat rujukan khusus kepada BRICS kerana ramai pihak, termasuk saya, teruja dan menyokong keperluan untuk membina kerjasama dan pakatan baharu yang memberi manfaat kepada kita”, katanya demikian dalam Syarahan Umum bertajuk Power Shift : Strategic Choices for Malaysia and Turkiye di sini.