KOTA BHARU, 26 Mei - Lebih 1,700 pasangan telah memohon Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) sejak dilancarkan Februari lepas, mengatasi 1,300 pasangan disasarkan.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata susulan perkembangan itu, agensi berkenaan akan berusaha mendapatkan lebih banyak peruntukan daripada kerajaan bagi memenuhi permintaan terbabit.
"Program ini kita jalankan secara percuma melalui subsidi yang diberikan kerajaan sebanyak RM2,000 setiap pasangan untuk dua kitaran rawatan permanian beradas (IUI) kerana kita tahu kosnya yang sangat tinggi hingga ada yang melebihi RM50,000,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Kelantan 2025 di sini hari ini.
Pada majlis itu, saintis wanita daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Wan Iryani Wan Ismail diumum sebagai penerima Anugerah Inspirasi Ibu 2025 peringkat Kelantan.
Rohani berkata setakat ini beberapa pasangan sudah berjaya hamil dan bakal menyambut kelahiran cahaya mata pada hujung tahun ini.
Beliau menasihati pasangan suami isteri bawah 35 tahun yang masih tidak memiliki zuriat supaya tidak berputus asa kerana mereka layak mendapatkan rawatan terbabit di empat Klinik Subfertiliti LPPKN dan Klinik Fertiliti LPPKN di Kuala Lumpur, Johor, Sarawak serta Pulau Pinang.
Sementara itu, Rohani berkata laporan Tinjauan Hari Ibu 2024 mendapati sembilan daripada 10 ibu merasakan tanggungjawab mereka hari ini jauh lebih mencabar berbanding dahulu termasuk kos sara hidup, tuntutan kerja, masalah kewangan dan kurang masa untuk diri sendiri.
"Pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan melalui Dasar Wanita Negara 2025-2030 serta program di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat termasuk Program Kasih Ibu Tunggal (PROKIT), Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT), MamaCare dan Program Wanita Bangkit.
"LPPKN juga mempunyai geran untuk ditawarkan kepada pihak yang berminat bagi menjalankan penyelidikan berhubung cabaran ibu muda agar kita dapat sedikit sebanyak menyantuni keperluan mereka," katanya. - BERNAMA