
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 yang dijadual berlangsung di Johor, Ahad ini menjadi platform penting dalam menentukan hala tuju gabungan itu, termasuk persediaan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, tahun ini.
- Konvensyen menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan mewakili PKR, Amanah dan DAP dari seluruh negara.
- Amanat Pengerusi PH dijangka memberi gambaran jelas tentang hala tuju dan gerak kerja gabungan.
- Amanat turut akan meletakkan landasan bagi persiapan jentera pilihan raya dan rundingan pembahagian kerusi.
- Konvensyen pertama selepas lebih empat tahun menjadi paluan gendang perang peringkat kebangsaan; Perdana Menteri menekankan selesaikan masalah rakyat, bukan petunjuk PRU16.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata konvensyen yang berlangsung di Pusat Konvensyen Persada Johor itu akan menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan dari seluruh negara yang mewakili PKR, Amanah dan DAP.
Menurutnya, amanat yang bakal disampaikan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberi gambaran hala tuju dan gerak kerja gabungan berkenaan.
“Sudah pasti amanat daripada pimpinan utama Pakatan Harapan ini akan meletakkan hala tuju dan landasan dalam banyak perkara yang akan disusuli oleh Jentera Pilihan Raya PH sama ada di peringkat negeri mahupun nasional dari segi persiapan dan rundingan kerusi.
Selain itu, amanat tersebut dijangka menyentuh usaha pimpinan PH dan0 Jemaah Menteri dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang sekian lama membelenggu rakyat sepanjang penggal pentadbiran beliau,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Lembah Pantai di sini, hari ini.
Tambahnya, konvensyen tersebut merupakan yang pertama diadakan selepas lebih empat tahun dan akan menjadi “paluan gendang perang pertama” Pakatan Harapan di peringkat kebangsaan.
Beliau juga berkata Perdana Menteri setakat ini belum memberikan sebarang petunjuk mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam masa terdekat, sebaliknya menekankan keperluan untuk terus menyelesaikan masalah rakyat.