70 peratus pindaan Akta MARA fokus perkukuh tadbir urus

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR, 14 Mei – 70 peratus cadangan pindaan terhadap Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 akan memfokuskan kepada aspek tadbir urus korporat yang baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pindaan untuk mengelakkan konflik kepentingan dalam proses pembuatan dasar dan keputusan.
  • Perundangan diperkuat untuk mencegah salah guna kuasa, manipulasi dan penyelewengan dalam institusi.
  • Institusi mesti kekal dengan tadbir urus tersusun walaupun Pengerusi dan ahli majlis bertukar ganti.
  • Hak orang Melayu dan Bumiputera dijamin; cadangan memasukkan akta ke Perkara 153 sedang dipertimbangkan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pindaan itu perlu bagi mengelak konflik berkepentingan yang menjadi perkara paling penting yang perlu dititikberatkan dalam proses membuat setiap dasar dan keputusan.

Ia sekali gus memelihara institusi berkenaan agar tidak terdedah kepada risiko salah guna kuasa, manipulasi dan penyelewengan sekiranya tidak dikawal melalui kerangka perundangan yang lebih jelas.

“Kita nak elakkan akan datang berlakunya sebarang salah laku, kecuaian, penyimpangan dari segi amalan, baik dari segi tatakelola, kewangan, hal urus korporat dan sebagainya dan disitulah bermulanya perbincangan di peringkat majlis yang merasakan sesuatu perlu dilakukan.

“Pemimpin boleh datang dan pergi, Pengerusi MARA boleh datang dan pergi, begitu juga ahli majlis, tetapi institusi mesti kekal dengan takbir urus yang tersusun,” katanya pada Sesi Konsultasi Awam Rang Undang-Undang (RUU) MARA 2026 di sini, hari ini.

Draf pindaan akta berkenaan disasar dibentangkan di Parlimen seawal bulan depan dalam usaha memastikan kerangka perundangan agensi itu kekal relevan dengan keperluan tadbir urus moden.

Beliau memberi jaminan, hak orang Melayu dan Bumiputera tidak akan tergadai dalam usaha meminda akta tersebut, meskipun berlaku perubahan kepimpinan dan tampuk pemerintahan negara.

Datuk Dr Asyraf Wajdi turut menyambut baik cadangan untuk meletakkan akta ini secara jelas dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, iaitu berkaitan hak kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

Perkara itu akan dipertimbangkan sebelum dibawa ke peringkat kementerian melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan kelulusan dasar Jemaah Menteri yang dijangka pada 25 Mei ini sebelum dibentangkan di Parlimen.