Tindakan bersepadu rentas Kementerian banteras jenayah dalam talian

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (tengah) memotong kek bersama guru-guru pada simbolik Sambutan Hari Guru sempena Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia dan Sambutan Hari Guru Parlimen Lembah Pantai di IWK Ecopark hari ini./ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Satu permukiman mengenai tindakan bersepadu rentas kementerian dan kerjasama bagi membanteras jenayah dalam talian, akan diadakan pada 23 hingga 24 Mei ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan bersepadu rentas kementerian dan kerjasama agensi penting untuk membanteras jenayah dalam talian.
  • Sekat aliran wang scam dalam masa setengah jam hingga sejam untuk menghalang pengeluaran dan memudahkan penangkapan suspek.
  • Ibu bapa diingatkan tingkatkan pemantauan keselamatan anak di internet dan media sosial susulan operasi menahan individu eksploitasi seksual kanak-kanak.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata usaha itu diambil memandangkan selain aspek perundangan, kerjasama yang lebih erat antara agensi dengan jabatan, sangat penting dalam menangani isu berkenaan.

“Hal ini kerana banyak daripada jenayah scam (penipuan) ini berdasarkan masa ataupun waktu tertentu, sekiranya kita berjaya sekat wang yang mengalir keluar dalam tempoh setengah jam, satu jam dan kemudiannya berusaha untuk menangkap mereka yang cuba untuk mengeluarkan wang ini, kita akan berjaya membanteras gejala scam,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar lebih peka terhadap keselamatan anak-anak ketika menggunakan internet dan media sosial.

Ini susulan penahanan 117 individu dalam operasi membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian menerusi Op Pedo 1, Op Pedo 2 dan Op Cyber Guardian baru-baru ini.

“Ini memberi satu peringatan kepada kita untuk sentiasa berjaga-jaga, pastikan anak-anak tidak bermain media sosial dan kita perlu tingkatkan usaha untuk jamin keselamatan mereka terutama bila kita berdepan dengan elemen-elemen jenayah seperti pedofil,” katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, menyampaikan sumbangan kepada 30 pelajar cemerlang SPM, serta mengumumkan sumbangan RM3,000 bagi setiap sekolah dalam parlimen itu bersempena Hari Guru yang akan disambut Sabtu ini.

Datuk Fahmi berharap sumbangan itu dapat membantu pihak sekolah membuat persiapan bagi meraikan sambutan berkenaan.