Pembiayaan mikro lebih RM5 bilion perkasa usahawan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MARA, TEKUN Nasional, AIM, Bank Rakyat, SME Bank, Agrobank dan BSN. – Foto PMO

KUALA LUMPUR, 14 MEI – Agensi serta institusi pembiayaan mikro diarah memperluas akses bantuan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro supaya tiada golongan tercicir daripada menerima manfaat disediakan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri arah agensi pembiayaan mikro memperluas akses supaya tiada peniaga kecil atau usahawan mikro tercicir daripada menerima bantuan.
  • Kerajaan sediakan pembiayaan mikro lebih RM5 bilion tahun ini, manfaat kepada lebih 400,000 usahawan, pembiayaan hingga RM100,000, kadar serendah tiga peratus.
  • Hebahan dan penyampaian maklumat mesti dilaksanakan secara lebih agresif dan menyeluruh supaya tiada yang tercicir.
  • Proses permohonan dipermudah, syarat tidak membebankan serta kelulusan adil dan munasabah bagi penjaja, pekerja gig, wanita, belia, TVET.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan mikro melebihi RM5 bilion tahun ini yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan dengan pembiayaan sehingga RM100,000 dan kadar serendah tiga peratus setahun bagi skim tertentu.

Menurut beliau, masih ramai peniaga kecil terutama di pasar dan pasar malam tidak mengetahui saluran bantuan serta kemudahan pembiayaan yang tersedia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi serta institusi pembiayaan mikro memperluas akses bantuan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro – Foto PMO

“Ketika berkunjung ke negeri-negeri, saya mendengar sendiri keluhan peniaga kecil yang tidak mengetahui mengenai bantuan dan kemudahan pembiayaan yang disediakan.

“Ada yang masih bergelut sendirian kerana tidak tahu saluran yang boleh membantu mereka mendapatkan modal dan sokongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau telah mengadakan pertemuan bersama ketua pegawai eksekutif Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank, Agrobank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi meneliti usaha memperkukuh akses pembiayaan kepada golongan berkenaan.

Pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif MARA, TEKUN Nasional, AIM, Bank Rakyat, SME Bank, Agrobank dan BSN diadakan bagi meneliti usaha memperluas akses pembiayaan kepada peniaga kecil dan usahawan mikro. – Foto PMO

“Hebahan dan penyampaian maklumat mesti dilaksanakan secara lebih agresif dan menyeluruh supaya tiada yang tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan kerajaan,” katanya.

Tegasnya, proses permohonan juga perlu dipermudah dengan syarat yang tidak membebankan serta kelulusan yang adil dan munasabah.

Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat membantu penjaja, pekerja gig, wanita, belia, lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pesawah padi dan usahawan mikro meningkatkan pendapatan serta membina kehidupan lebih baik.